SOFIA Kenin dari Amerika Syarikat muncul juara kategori perseorangan wanita Terbuka Australia 2020.

Kenin berjaya menundukkan Garbine Muguruza dari Sepanyol dengan kemenangan set kedua dan ketiga 6-2 dan 6-2 untuk meraih trofi Grand Slam pertama miliknya.

Muguruza yang memburu trofi Grand Slam yang ketiga menampilkan aksi menyerlah pada set pertama seterusnya catat kemenangan 6-4 ke atas bintang muda berusia 21 tahun itu.

Kemenangan ini sekaligus menyaksikan Kenin meneruskan penguasaan atlet wanita muda dalam siri jelajah Grand Slam selepas Bianca Andreescu dari Kanada catat kemenangan ke atas Serena Williams pada Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu.

Kenin yang merupakan pemain di tangga ke-14 dunia sebelum itu meraih perhatian dunia apabila berjaya menjinakkan bintang tenis Australia Ashleigh Barty yang juga pemain nombor satu dunia dengan 7-6 dan 7-5 di pusingan separuh akhir.

Esok bakal berlangsung pusingan akhir kategori perseorangan lelaki menyaksikan aksi ditunggu-tunggu peminat tenis dunia di antara Novak Djokovic dan Dominic Thiem.

BACA: Terbuka Australia: Thiem tempah aksi dengan Djokovic untuk takhta kejuaraan

Mampukah Djokovic mempertahankan kejuaraan seterusnya merangkul trofi Grand Slam yang ke-17 atau adakah bintang Austria, Thiem mampu catat kemenangan pertamanya dalam acara paling berprestij sukan tenis ini.