Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tiada berhasrat untuk menamatkan isu gaji tertunggak selama lima bulan, selepas presidennya, Mohd Sanusi Md Noor, umpama menjerut leher skuad Sang Kenari - semuanya atas alasan ia 'urusan tidak selesai' yang ditinggalkan pihak pengurusan terdahulu.

Tanpa gaji selama lima bulan, menyaksikan kesukaran bersilih ganti yang terpaksa dihadapi barisan pemain Kedah.

Kenyataan terbaru daripada Sanusi, gagal mencetus kelegaan buat pemain dan pegawai KFA malah ia menambahkan lagi kekusutan yang dilalui skuad Hijau Kuning ketika ini.

"Saya perlu menegaskan hal ini, jika melantik Menteri Besar Kedah bagi menyelesaikan tunggakan gaji menggunakan duit kerajaan negeri pasukan Kedah, saya tidak akan melakukannya.

"Ia merupakan duit untuk anak yatim, ibu tunggal, orang miskin, duit untuk sekolah dan pembangunan. Jika untuk menyelesaikan gaji pemain Kedah, saya Mohd Sanusi Md Noor tidak akan melakukannya," kata Sanusi ketika dihubungi Nadi Arena.

Hasrat pemain dan jurulatih untuk bertemu Sanusi juga tertangguh lagi, difahamkan beliau akan menghadiri mesyuarat KFA 2 Ogos ini dan tarikh pertemuan dalam pasukan hanya akan diputuskan dalam mesyuarat tersebut.

"Mesyuarat bersama pihak KFA akan dilakukan awal bulan hadapan dan saya akan melihat perancangan yang dimiliki persatuan ketika ini."