'Kemenangan' Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) membabitkan isu perpindahan kontroversi bekas pemain Kedah Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang dirujuk ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur, tidak melibatkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata meskipun Muhammad Akhyar kini bersama JDT, keputusan AIAC tersebut hanya antara pemain sayap berumur 19 tahun itu dengan KFA.

"Supaya semua lebih memahami, kes ini adalah mengenai Akhyar dan Kedah berhubung kontrak bersama bekas majikannya sebelum ini. Mudah sahaja. Ia tidak melibatkan JDT atau mana-mana pihak.

"Apabila kes ini dibawa ke timbang tara, ia antara peguam kedua-dua pihak. Malah FAM tidak menerima sebarang maklum balas atau diundang untuk ke sana (AIAC) sebagai saksi sehingga lah keputusan keluar seperti yang kita tahu mengenai kes ini," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Pada Sabtu, Setiausaha Kehormat KFA Asmirul Anuar Aris mengesahkan kes yang berlarutan hampir satu tahun itu berpihak kepada KFA meskipun KFA tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang ditawarkan.

Muhammad Akhyar yang juga pemain kebangsaan sah menjadi milik JDT pada Disember 2018 ketika FAM dan KFA masih berbalah mengenai isu perpindahan pemain terbabit.

Sebelum itu, KFA mengemukakan rayuan kepada FAM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan badan induk itu yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan bahawa pemain itu hanya perlu membayar RM210,000 untuk menebus baki kontraknya bersama KFA untuk berhijrah ke pasukan lain manakala pasukan baharunya perlu membayar RM75,000 kepada KFA.

Mengulas lanjut, Stuart memberi jaminan kes seperti itu tidak akan berulang di masa hadapan selepas FAM mengenal pasti kelemahan pada Artikel 15.A, Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM.

"Kita nampak kelemahan dalam Artikel 15.A yang telah digunakan beberapa kali sebelum ini, jadi dalam garis panduan RSTP (Peraturan Status dan Perpindahan Pemain) untuk musim 2020, klausa yang kontroversi telah dikeluarkan sekali gus selaras dengan garis panduan FIFA dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia).

"Ia untuk pastikan tiadanya kekeliruan dalam kes ini yang akan berlaku lagi. Perkara ini telah dimaklumkan kepada semua pasukan dan berkuat kuasa awal tahun ini," katanya.

-- BERNAMA