I AM very happy to come back home.”

Baris ayat itu cukup menjelaskan sebab mengapa Zinedine Zidane kembali untuk mengemudi Real Madrid, kerana rasa cintanya yang mendalam terhadap kelab itu.

Sah, legenda Perancis itu mengambil alih tampuk pemerintahan di Santiago Bernabeu bermula Isnin sehingga tiga tahun akan datang selepas Santiago Solari dipecat susulan kekalahan kepada Barcelona dan Ajax Amsterdam.

Keputusan untuk kembali adalah mudah, kata Zidane. Beliau mahu mengembalikan maruah dan prestij kelab di persada Eropah.

“Tidak ada apa yang mahu saya katakan – saya gembira untuk kembali dan mahu meletakkan kelab ini kembali di tempat yang sepatutnya.”

“Ia tanggungjawab yang besar. Semua pemain di sini sangat mencintai kelab ini, apatah lagi saya, saya bermain dengan lencana ini, banyak yang telah saya menangi,” katanya.

Zidane kembali selepas hanya sepuluh bulan meninggalkan kelab itu, mengakui dirinya sudah ‘rengsa’ untuk kembali ke medan pengurusan selepas lapan bulan bercuti.

Sepanjang pemergian Zizou, Los Blancos seakan mengalami keruntuhan yang dahsyat, bermula dengan permulaan musim terburuk dalam sejarah kelab, cuba mencari rentak kemenangan dalam perlawanan demi perlawanan namun gagal konsisten.

Real tewas tiga kali berturut-turut kepada seteru utama, Barcelona dalam dua saingan La Liga dan disingkirkan daripada saingan separuh akhir Copa Del Rey.

Terbaharu gagal memanfaatkan pendahuluan pertemuan pertama dan ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah dalam pertemuan kedua dengan Ajax.

“Saya tidak lupa apa yang telah kita menangi, tapi tidak juga lupa detik-detik buruk. Kita tewas La Liga begitu cepat, juga Copa Del Rey. Kita menangi Liga Juara-Juara Eropah, okay, tapi saya tahu di mana kedudukan saya.

“Saya akan berikan segalanya supaya kelab ini menjadi lebih baik,” ujar Zidane.

Presiden kelab, Fiorentino Perez mendedahkan bahawa beliau menghubungi Zidane lima hari lepas memohon kepada legenda itu untuk kembali.

Pada masa sama, Perez tidak mengetepikan peranan dan jasa Solari yang mengemudi pasukan dengan penuh kecekalan ketika waktu sukar.

“Kita tidak mencapai keputusan yang dimahukan. Saya mahu mengiktiraf jasa Solari. Hingga detik terakhir, dia menunjukkan kesetiaan kepada kelab, cinta kepada kelab dan usahanya tidak boleh disangkal sejak hari pertama.

“Kami mahu dia terus kekal bersama kami di kelab ini jika sudi,” jelas Perez.