Ketua jurulatih pasukan bola sepak Felcra FC, Azman Eusoff, 51, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru di Hospital KPJ Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, akibat jangkitan kuman di paru-paru, awal pagi ini.

Selain melatih FELCRA dan Kedah, Allahyarham juga pernah melatih pasukan seperti Harimau Muda selain Brunei.

Allahyarham juga kerap muncul di televisyen sebagai pengulas bagi perlawanan Liga Malaysia selain menjadi panel jemputan untuk program bola di televisyen.

Kejayaan pentingnya semasa menjadi jurulatih Kedah dalam saingan Liga Malaysia, negeri itu menjuarai semua trofi dipertandingkan merangkumi Piala Malaysia, Liga Divisyen 1 & 2, Piala FA, Piala Presiden, Piala Emas Raja-Raja dan Piala Agong.

Allahyarham juga pernah menjadi pengurus pasukan Pulau Pinang pada 2011 dan jurulatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara tahun lepas, sebelum melatih Felcra FC tahun ini serta sebagai pembantu jurulatih skuad Harimau Muda A yang beraksi di Slovakia pada 2010.

Pengulas sukan Astro Arena, Rizal Hashim dalam laman sosial Facebook miliknya menyifatkan Allahyarham sebagai tidak lokek ilmu dan sering memberi nasihat sama ada bola sepak, mahupun agama.

"Perginya jurulatih pada usia 51 tahun dua bulan itu satu kehilangan besar buat keluarga bola sepak tempatan," katanya dalam entri terbarunya yang turut memuat naik sekeping gambarnya bersama Allahyarham yang dirakam pada 2009.

Jenazah Allahyarham yang juga bekas penjaga gol ketika masih beraksi dikebumikan selepas solat Zohor, hari ini.

Allahyarham Azman meninggalkan seorang isteri, Ladawan Whayee Yasin Ismail, 48, serta empat anak lelaki dan seorang perempuan berusia 13 hingga 22 tahun.

Sementara itu, Pengurus Felcra FC Mohd Fauzi Mohd Tahir yang dipetik oleh Bernama sebagai berkata, pihaknya akan memberi bantuan kepada keluarga Allahyarham bagi meringankan beban mereka.

"Azman dilantik menjadi ketua jurulatih Felcra FC sejak Mei lepas dan sepanjang saya mengenali beliau, arwah seorang yang tegas dan berdisiplin serta disenangi semua orang," katanya.