Ketua jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim berkata terpulang kepada pengurusan pasukan untuk membuat bantahan rasmi terhadap pengadil perlawanan menentang Lions XII pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, semalam.

Jurulatih itu mempertikaikan tindakan pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob membatalkan jaringan keempat skuad 'Penyu' pada penghujung perlawanan sehingga mengakibatkan pasukan itu gagal layak ke final.

Beliau mendakwa pengadil tidak merujuk kepada penjaga garisan sebelum membatalkan jaringan keempat Terengganu sehingga memaksa skuad itu tersingkir daripada saingan Piala FA musim ini.

Walaupun menang 3-2 tetapi keputusan pengadil itu menyaksikan Lions XII dari Singapura mara ke final dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas kedudukan terikat 4-4 secara agregat.

Justeru, Abdul Rahman berkata kemungkinan satu bantahan rasmi perlu dikemukakan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung insiden tersebut.

"Saya pun tak tahu atas dasar apa penjaga garisan mengangkat bendera.

"Tapi, pengadil pun, sebelum dia sahkan gol, dia kena merujuk dengan penjaga garisan terlebih dahulu. Tapi, dia tak buat. Itu yang saya tak faham," katanya ketika ditemui pemberita sejurus tamat perlawanan itu.

Abdul Rahman berkata meskipun impian skuad Penyu untuk mengulangi sejarah mara ke final selepas 2011 tidak tercapai, namun beliau tetap memuji persembahan anak-anak buahnya dalam perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, beliau akur dengan hakikat bahawa mereka gagal ke pentas final dan telah mengecewakan harapan rakyat Terengganu.