JUARA Lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov nampaknya tidak bersetuju dengan keputusan juri bagi perlawanan 'Holloway vs Poirier' pada kejohanan UFC 236 pada Ahad.

Perlawanan tersebut adalah bagi merebut kejuaraan interim UFC bagi divisyen lightweight.

Selepas lima pusingan, ketiga-ketiga juri memberikan markah 49 - 46 yang berpihak kepada Dustin Poirier.

Namun apa yang menarik ialah reaksi Khabib terhadap keputusan tersebut.

Petarung dari Russia itu memuat naik satu kenyataan menerusi akaun Twitternya.

Khabib berkata, "Saya tidak bersetuju dengan markah juri 49:46, saya menilai perlawanan tersebut sebagai seri.

"Saya menghormati kedua-kedua petarung, kejayaan Poirier tidak boleh dinafikan, saya ucapkan tahniah pada Dustin. Jumpa anda pada September."

BACA: UFC 236: Poirier, Adesanya juara baharu Interim UFC

Selain itu Khabib turut meletakkan emoji seekor helang bersama sebutir berlian.

Dia merujuk kepada nama jolokannya iaitu 'The Eagle' dan 'Diamond' yang merupakan nama jolokan bagi Poirier.

Dengan Tweet tersebut, khabar angin yang mengatakan Khabib bakal kembali ke gelanggang Octagon pada September semakin hebat diperkatakan.

Terdapat juga cakap-cakap yang mengatakan perlawanan Khabib vs Poirier bakal diadakan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.