Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berharap pemain badminton berpotensi yang berada di luar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat menyertai badan tersebut.

Ia kerana jelas Khairy, BAM kini berada di landasan yang tepat untuk menempa lebih banyak kejayaan, rentetan pulangan tiga pingat perak dari temasya di Rio de Janeiro, Brazil yang baharu sahaja tamat.

Menurutnya, dengan bernaung di bawah badan induk badminton negara itu mereka memiliki peluang besar untuk beraksi di pentas Olimpik.

LAPOR LANGSUNG: Sambutan meraikan kepulangan atlet Olimpik negara

BACA: Imbuhan tambahan RM200,000 buat pemenang pingat Olimpik Rio 2016 - PM

Ia sekaligus dapat membantu kontinjen negara memiliki lebih peluang untuk menambah pingat dalam temasya akan datang, terdekat di Tokyo pada 2020.

"Sekarang ini perancangan BAM sangat sistematik.

"Jadi pemain-pemain hebat seperti Zulfadli Zulkiffli dan sebagainya, kalau mahu berpeluang ke Olimpik dan memenangi pingat, lebih baik mereka menjadi sebahagian daripada BAM," katanya dalam sidang media selepas menyambut kepulangan kontinjen negara dari Rio di Kompleks Bunga Raya, KLIA hari ini.