Petarung Kyrgysztan, Kiamrian Abbasov berjaya meraih kejuaraan dunia welterweight ONE selepas menewaskan Zebaztian Kadestam dalam aksi ONE Championship di Jakarta, pada Jumaat.

Dalam acara utama di ONE: Dawn Of Valor itu, Abbasov menumpaskan Kadestam menerusi keputusan sebulat suara selepas lima pusingan.

Pusingan pertama menyaksikan perlawanan didominasi oleh Kadestam, dengan melancarkan beberapa tendangan ke arah Abbasov diselang-selikan serangan siku.

Namun, pada pusingan seterusnya, Abbasov dilihat berjaya mengawal permainan dengan melakukan beberapa 'takedown' serta kuncian terhadap Kadestam.

Selepas tamat perlawanan, pengadil memberikan kemenangan kepada Abbasov, menobatkannya sebagai juara baharu untuk kategori weltwerweight.

Sementara itu, dalam pertarungan ‘co-main event’ pula, juara bertahan ONE lightweight kickboxing Regian Eersel dari Belanda berjaya mempertahankan gelarannya selepas menumpaskan rakan senegaranya, Nieky Holzken.

Eersel berjaya mengekalkan momentum yang baik hingga ke pusingan kelima, sekali gus menyaksikan kemenangan untuk dirinya.