Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Sukan

KL Fight lonjak populariti negara dalam Muay Thai

KL Fight lonjak populariti negara dalam Muay Thai
Sharifah Norazleenda berkata KL Fight menjadi platform untuk menarik anak muda mengenali sukan tersebut, termasuk kaum wanita.
KUALA LUMPUR: Kejohanan Muay Thai terbesar, KL Fight akan melonjak nama sukan Muay Thai yang masih baru di negara ini dalam menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup cergas dan sihat.

Presiden KL Fight, Sharifah Norazleenda Al-Khaired berkata, kejohanan yang dijadual pada 5 Mei depan itu sekali gus menjadi platform untuk menarik anak muda mengenali sukan tersebut, termasuk kaum wanita.
"Kami sangat teruja untuk menganjurkan KL Fight yang pertama kali diadakan di negara ini yang merangkumi pelbagai acara lagi seperti persembahan kebudayaan dan artis, gerai makanan dan pertandingan amatur Muay Thai.

"Atlet Muay Thai legenda Thailand, Saenchai yang terkenal di seluruh dunia juga dijangka hadir pada hari berkenaan.
"Kita menyasarkan seramai 10,000 pengunjung akan hadir pada acara yang diadakan secara terbuka di Dataran Merdeka itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

BACA: Atlet muay thai terkenal dunia bakal berentap di Kuala Lumpur

BACA: Usaha bersepadu perlu untuk kemajuan sukan Muay Thai

Selain menyaksikan pertembungan atlet-atlet profesional Muay Thai dunia yang diadakan secara terbuka, penonton juga akan disajikan dengan persembahan hiburan dan kebudayaan serta kehadiran trak makanan.

Ia juga bakal meletakkan Kuala Lumpur sebagai pusat serantau untuk sukan mempertahankan diri itu yang mempunyai ramai pengikut di seluruh dunia.

Jelasnya yang juga pemilik Muayfit, KL Fight akan menampilkan atlet Muay Thai negara yang akan bersaing dengan atlet Muay Thai antarabangsa seperti dari Thailand, Indonesia, Jepun dan Perancis.

"Malah kami juga berharap dapat mengumpul dana RM2 juta untuk disumbangkan kepada badan kebajikan seperti Hello Fight Club dan A-Star Foundation," katanya.

KL Fight dianjurkan bersama Muayfit dan Raja Boxing yang bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records dengan sasaran seramai 10,000 pengunjung.

Tiket berharga RM15 akan mula dijual pada 19 Mac ini menerusi rakan jualan tiket, PouchNATION.

Orang ramai boleh melayari laman web www.klfight.asia untuk maklumat lanjut.