Sejarah tercipta dalam arena sukan ragbi negara apabila Malaysia buat kali pertama berjaya merangkul pingat emas dan gangsa, masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita ragbi tujuh sebelah temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), hari ini.

Skuad lelaki negara membenam Singapura 22-7 dalam perlawanan akhir untuk meraih emas, sekali gus menebus kekecewaan dua tahun lalu di Singapura apabila sekadar meraih pingat perak.

Skuad wanita negara pula mempamerkan aksi luar biasa selepas mencatat kemenangan tipis 7-5 ke atas Filipina untuk menghadiahkan pingat gangsa kepada negara.

Pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hadir bagi memberikan sokongan.

Sebaik perlawanan bermula, Malaysia terlebih dahulu mengutip mata seawal minit pertama menerusi try oleh Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi, namun tiga minit kemudian Singapura berjaya menjarakkan kedudukan dengan 7-5, hasil try oleh Yau Yu Hong dan diikuti conversion yang disempurnakan Marah Moehammad Ishraf Marah Moehammad Hoessein.

Tersentak dengan kedudukan itu, skuad kendalian, Mohd Saizul Hafifi, kembali memperkemaskan permainan dan hasilnya Muhammad Zulhisham Rasli berjaya membuat larian deras untuk melakukan try diikuti conversion oleh Muhammad Azwan pada minit keenam untuk kembali mengawal permainan dengan 12-7 dan kedudukan itu kekal sehingga rehat.

Sokongan padu penyokong yang hampir memenuhi stadium yang boleh memuatkan seramai 25,000 penonton, telah membakar semangat pemain negara untuk terus mempertajamkan cengkaman.

Empat minit selepas rehat, Mohamad Nur Azri berjaya membuat try dan beliau berjaya menambah derita pasukan Kota Singa itu dengan melakukan satu lagi try dalam minit terakhir untuk kemenangan skuad negara 22-7.

Ketua pasukan skuad lelaki Zulkiflee Azmi menyifatkan segala janji dan tanggungjawab telah dilaksanakan dengan baik oleh setiap pemain.

"Alhamdulillah, betapa gembiranya kami hari ini selepas telah berjaya menunaikan janji kami untuk melakar sejarah meraih pingat emas buat Malaysia!" katanya.

Dalam pada itu, skuad wanita negara berjaya menyajikan persembahan terbaik mereka dalam memastikan sasaran menaiki podium pada KL2017 menjadi realiti.

Pujian harus diberikan kepada anak buah Nik Safuan Ismade Nik Man yang berjaya mematahkan setiap percubaan Filipina selepas mendahului 7-5 menerusi try Siti Farhanita Maddin diikuti conversion yang disempurnakan Rozlliana Mohd Ridwan pada minit ketiga.

-- BERNAMA