“Ia satu kejutan besar bagi saya dan seluruh negara,” kata bekas atlet negara Farah Begum Abdullah mengenang kembali saat meraih pingat emas dalam acara terjun wanita 18 tahun lalu.

Farah Begum mengakhiri penantian negara untuk merangkul pingat emas bagi acara terjun wanita Sukan SEA apabila menjuarainya pada tahun 1999 di Brunei.

Dia yang pada ketika itu berusia 17 tahun, pada mulanya berada di tempat kelima daripada lapan peserta acara papan anjal 3 meter di temasya sukan itu, mendaki lima lagi anak tangga untuk mengukir sejarah baru Malaysia.

Farah mengatasi lawan demi lawan sehingga berjaya memintas pendahulu acara itu sebelumnya yang juga rakan senegara, Leong Mun Yee untuk memecah kebuntuan Malaysia meraih emas Sukan SEA sejak 1977.

Menurutnya, beliau tidak menjangkakan kemenangan itu kerana acara terjun ketika itu baru mula mendapat tempat di Malaysia.

“Saya memang menjangkakan pingat, tetapi bukan pingat emas. Hal ini kerana, acara terjun masih baru di Malaysia.

"Dan pada masa itu, pasukan Thailand merupakan pasukan paling kuat di Asia Tenggara.

“Kemenangan itu merupakan satu kejutan kepada saya dan negara. Saya sangat gembira dapat menyumbang pingat pertama negara,” kata Farah ketika ditemu bual wartawan Astro AWANI baru-baru ini.

Tambah bekas penerjun negara itu, kemudahan sukan dan asrama di Malaysia pada 90-an juga tidak begitu lengkap, jadi, mereka sering dihantar ke China untuk menjalani latihan.

“Dulu kita tidak ada asrama ataupun kenderaan Majlis Sukan Negara (MSN) seperti sekarang, jadi kami akan ditempatkan di sebuah rumah sewa sehingga latihan selesai.

“Kami kemudian dihantar ke China untuk berlatih kerana kemudahan sukan di sini tidak lengkap. Dari situlah mereka memilih atlet yang terbaik untuk menyertai pasukan negara.”

Tonton video penuh temu bual bersama bekas atlet negara dan pemenang pingat Sukan SEA, Farah Begum.

BACA: Sukan SEA: "Orang lain sibuk berlatih di trek, tetapi saya berlatih di pool" - P.Kuganeswari