Berita  | Sukan

Klopp gusar Salah mungkin terlepas Piala Dunia

Klopp gusar Salah mungkin terlepas Piala Dunia
Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo (kiri) kelihatan cuba menenangkan pemain Liverpool, Mohamed Salah. Foto Astro ARENA
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, mengesahkan Mohamed Salah dalam keraguan besar untuk beraksi dalam kempen Piala Dunia bersama Mesir selepas mengalami kecederaan bahu dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Real Madrid.

Penyerang itu terpaksa dikeluarkan ketika permainan baru berusia setengah jam dalam pertembungan di Kiev, Ukraine, awal pagi tadi selepas diasak kapten Real Madrid, Sergio Ramos.

Salah cuba meneruskan permainan sebaik menerima rawatan, namun akhirnya terpaksa akur terpaksa meninggalkan padang dengan tangisan dengan Adam Lallana menggantikannya dalam kekalahan 3-1.

Klopp mengesahkan kepada Sky di Jerman bahawa Salah "mungkin" mengalami patah bahu, seterusnya mengakui peluang pemain lincah itu untuk ke Russia dalam keraguan.

"Ya, betul," katanya kepada BT Sport apabila ditanya kedudukan Salah dalam Piala Dunia mungkin terjejas.

"Ada sesuatu (tidak kena) dengan bahunya, anda boleh membayangkan dia akan meneruskan permainan jika ada yang kebarangkalian."

Tambah beliau dalam sidang akhbar: "Ia adalah kecederaan serius, kecederaan serius, saya fikir ketika ini dia berada di hospital untuk melakukan ujian imbasan.

"Saya berpendapat mungkin tulang selangka atau bahu itu sendiri. Ia tidak kelihatan baik, itu sahaja.

"Ini (situasi) sangat buruk bagi Mo, sangat buruk bagi kami dan sangat buruk bagi Mesir."

Berita itu merumuskan tempoh 90 minit yang menyedihkan buat Liverpool di Ukraine yang ditewaskan oleh dua gol daripada Gareth Bale setelah Sadio Mane lebih awal membatalkan gol pembukaan Karim Benzema.

Mesir akan menghadapi Uruguay, Arab Saudi dan tuan rumah, Russia, dalam Kumpulan A Piala Dunia.







Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro