Kompleks Belia Rembau akan dibina di kawasan seluas 8.094 hektar pada hujung tahun ini dan dijangka siap akhir 2018, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata proses pengambilan tanah sudah diselesaikan dan pelantikan kontraktor melalui tender akan dibuat tidak lama lagi.

"Kompleks ini akan dilengkapi dengan padang, balapan, astaka, asrama dan dewan besar," katanya kepada media selepas Sambutan Hari Belia Negara 2016 peringkat Negeri Sembilan yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hasan Malek.

Khairy Jamaluddin, yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata kompleks belia itu kelak dapat memberi manfaat kepada 50 persatuan belia di Rembau.

Sementara itu, Mohamad berkata rakyat negeri ini khususnya belia perlu berfikiran seperti seorang usahawan jika mahu berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

"Orang yang berfikir dan berjiwa usahawan ini sentiasa mahu berjaya, maju, mahu menambah nilai, memperbaiki keadaan mereka dan tidak kenal erti putus asa.

"Sikap ini yang perlu ada pada belia Negeri Sembilan. Saya tak mahu belia yang mengharapkan bantuan, saya nak belia negeri ini yang dapat menyediakan pekerjaan," katanya.

Pada majlis itu, Persatuan Belia Felda Jelai 3, Tampin menerima Anugerah Perdana Belia kategori pertubuhan belia dan membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan sijil.