Kuching FA sedia untuk menghadapi cabaran musim terbaharu Liga Premier 2020 dan Piala Presiden FAM.

Perkara itu diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA), Fazzrudin Abdul Rahman menerusi Majlis Kesyukuran dan Doa selamat di Kuching pada Ahad.

Menerusi acara tersebut, skuad City of Unity yang bersedia untuk mencipta satu lagi kejutan selepas “naik pangkat” dari Liga M3 musim lalu turut memperkenalkan jersi baharu bagi saingan liga musim ini.

Fazzrudin ketika ditemui berkata, bukan mudah untuk pasukannya berada di peringkat ini dan beliau optimis dengan kemampuan skuad yang dikendalikan Ideris Untong ini.

“Saya sudah berkongsi dengan pemain untuk bersedia menghadapi cabaran tersebut dengan fokus kepada tanggungjawab diberikan iaitu menjadi seorang pemain bola sepak ataupun seorang jurulatih ataupun menjadi seorang penolong pengurus,” jelasnya.

Tanpa meletakkan sasaran untuk musim sulung dalam Liga Malaysia, Fazzrudin mahu Kuching FA untuk terus fokus dalam setiap perlawanan sekali gus meningkatkan mutu permainan pada tahap terbaik.

“Sudah tentu cabaran pada tahun 2016 sewaktu kita memasuki Liga Bola Sepak Rakyat berbeza dengan Liga FAM dan berbeza dengan Liga Menteri dan sudah tentu cabaran Liga Premier pun berbeza juga.”

Aksi sulung Piala Presiden FAM menyaksikan Kuching FA bakal bertemu SarawaK United pada 24 Februari ini.

Manakala bagi saingan Liga Premier pasukan ini akan bertemu UKM FC di Stadium Petra Jaya dijadualkan pada 29 Februari ini.