LAGENDA seni bela diri campuran (MMA) dan bekas juara dunia UFC, Georges St-Pierre sah bersara daripada sukan itu pada Khamis.

St-Pierre, 37 tahun, membuat pengumuman tersebut dalam satu sidang media pada hari yang sama di Bell Center, Montreal, Kanada.

Bekas juara kategori welterweight dan middleweight itu sebelum ini telah pun menyatakan hasratnya untuk meninggalkan sukan itu Rabu lalu.

"Saya mengumumkan persaraan saya dari UFC dan pertandingan MMA. Bagaimanapun saya akan terus berlatih dan mengamalkan seni bela diri selagi saya masih hidup.

"Tetapi sekarang adalah masa untuk saya memilih untuk mengakhiri karier saya sebagai atlet profesional MMA," katanya dalam satu kenyataan.

Petinju dari Kanada itu mendedahkan, dia dan jaguh Rusia, Khabib Nurmagomedov, pernah bersetuju untuk bertarung namun UFC dikatakan mempunyai perancangan lain untuk mereka.

Keputusan ini sekali gus mengecewakan Khabib yang meminta St-Pierre menangguhkan persaraannya sejurus selepas mengetahui tentang niatnya itu.

St-Pierre merupakan antara atlet terbaik dalam sejarah UFC, dengan rekod kemenangan 26-2.

Meskipun dia hanya bertanding sekali sahaja sejak November 2013, namun dia tidak pernah menganggap dirinya sebagai atlet yang bersara.