Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerima khabar gembira apabila perlumbaan jelajah berbasikal berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) mendapat status baharu siri profesional untuk edisi 2020.

Presidennya, Datuk Abu Samah Wahab, berkata pihaknya menerima surat daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) semalam mengenai status baharu itu selepas PKBM mengadakan beberapa siri perbincangan dengan badan dunia itu.

Ini berikutan UCI memperkenalkan kategori baharu itu bagi kalendar perlumbaan jelajah berbasikal 2020 dengan memperkenalkan siri profesional bagi menggantikan status Hors Class (HC).

Sebelum ini, perlumbaan ikonik negara itu kehilangan status 2.0 HC kerana ketiadaan penyertaan pasukan Jelajah Profesional dunia di bawah UCI serta kurang mendapat liputan media antarabangsa pada edisi tahun ini.

"Kita dapat surat daripada UCI yang mengatakan bahawa mereka telah mempertimbangkan LTdL untuk dinaik taraf kepada Pro Series (Siri Profesional). Ini bermakna kita tidak diturunkan status," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk LTdL 2020 di ibu pejabat Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, hari ini.

Abu Samah menjelaskan status siri profesional adalah lebih tinggi daripada kelas Hors sebelum ini dan pihak penganjur perlu sedar keperluan dan komitmen yang harus diberikan untuk menjayakan LTdL 2020.

"Bagaimanapun, pihak penganjur telah mengatakan kesediaan untuk memenuhi komitmen yang disenaraikan oleh UCI untuk penganjuran tahun depan," katanya.

Beliau turut mengesahkan perlumbaan edisi ke-25 tahun depan dipanjangkan dari lapan kepada 10 peringkat dengan turut merangkumi laluan di Sabah dan Sarawak.

Menurut Abu Samah, perlumbaan dijadual dari 6 hingga 15 Feb tahun depan itu akan menyaksikan Terengganu sebagai permulaan bagi peringkat di Semenanjung Malaysia dan tamat di Pulau Langkawi, selain mengekalkan Genting Highlands sebagai peringkat pendakian.

"Kita sudah dapat restu KBS untuk mengadakan perlumbaan 10 peringkat dan kita juga sudah mohon kepada UCI," katanya.

Katanya, beliau yakin pihak penganjur, Human Voyage (M) Sdn Bhd., telah membuat persiapan lebih awal dan harap mereka dapat memenuhi segala keperluan daripada UCI.

Di bawah format baharu UCI, bagi sesuatu penganjuran perlumbaan di bawah kategori Pro Series, LTdL 2020 perlu sekurang-kurangnya mendapat penyertaan enam pasukan berstatus Jelajah Dunia serta mendapat liputan meluas daripada media luar negara.

Selain LTdL, perlumbaan berstatus siri profesional lain di Asia ialah Jelajah Oman, Jelajah Tasik Qinghai dan Jelajah Hainan, kedua-dua di China.

-- BERNAMA