Lee Chong Wei imbau kenangan rai Aidilfitri | Astro Awani
SUKAN
Lee Chong Wei imbau kenangan rai Aidilfitri
Madiha Abdullah
24/05/2020
13:58 MYT
Chong Wei tetap positif situasi mencabar hari ini membawa hikmah tersendiri. - Facebook\Lee Chong Wei
Legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan sambutan Aidilfitri di negara ini sebagai satu keraian yang dinanti-nantikan rakyat segenap lapisan masyarakat, tanpa mengira bangsa dan agama.
Mengimbau kenangan ketika kecil, Chong Wei berkata, antara yang paling dinanti setiap kali ketibaan Syawal ialah hidangan pelbagai juadah enak.
"Time Raya mak bapa akan bawa pergi ke open house saudara beragama Islam dan rumah jiran-jiran Melayu.
"First house tu tak kisah rumah siapa, confirm ada rendang ayam, serunding, sambal sotong dan ketupat. Bestnya. Ada lagi kek batik!" tulis beliau di Instagram.
Bekas pemain nombor satu dunia itu turut berkongsi kisah tentang perselisihan faham dengan seorang pemain Indonesia yang tidak dinamakan.
Namun, hanya dengan satu mesej 'Selamat Hari Raya', hubungan mereka baik sehingga kini.
"Tak pasti siapa betul siapa salah, tapi jumpa saja di gelanggang, memang panas dan tak puas hati.
"Rakan sepasukan nasihat saya hantar mesej raya kepada dia. Saya pun mesej, 'Selamat Hari Raya. Macam sukan badminton, kita restart kosong-kosong pak. Maaf zahir dan batin'.
"Dari saat itu sampailah sekarang, kami masih berkawan baik," ceritanya.
Dalam pada itu, Chong Wei turut meluahkan rasa sedih apabila Aidilfitri tidak dapat disambut seperti kebiasaan tahun ini, namun tetap positif situasi mencabar hari ini membawa hikmah tersendiri.
"Kesabaran tahun ini bakal dibalas dengan kenikmatan perayaan hari raya tahun-tahun kelak untuk anak-cucu kita, sepertimana kamu menikmati suasana raya dahulu," katanya.