Menjadi juara di litar bukan penghalang kepada Lewis Hamilton untuk berbakti kepada masyarakat.

Malah beliau yang berada di Malaysia sempena perlumbaan Formula One Petronas Malaysia Grand Prix di Sepang pada Sabtu, tiba ke Malaysia lebih awal bagi menyertai program bersama anak-anak muda tempatan.

Astro AWANI sempat menemu bual Hamilton secara eksklusif beberapa hari lalu bagi berkongsi minatnya yang mendalam selain mengasah sifat kepimpinan dalam kalangan remaja.

Bagi Hamilton, remaja harus diasah dengan sifat kepimpinan dan kerjasama seawal usia muda kerana bagi juara dunia Formula One dua kali ini percaya dua sifat inilah yang membawanya ke tahap ini.

“Semangat berpasukan dan mempunyai matlamat untuk menang adalah penting”

“Aktiviti seperti teambuilding ini akan menyediakan mereka apabila mereka bekerja nanti. Sebagai contoh, di syarikat seperti Petronas di mana mereka perlu bekerja dalam sebuah kumpulan yang besar,” kata Hamilton.

Itu antara mesej yang cuba diterap Hamilton melalui program "All About Youth" yang dianjurkan oleh syarikat minyak dan gas negara, Petronas.

Melalui program ini, Hamilton berkongsi pengalamannya dan rakan-rakanya dalam pasukan Mercedes Amg Petronas yang harus bekerja rapat untuk mencatatkan rekod terbaik di litar.

Pada masa sama, Hamilton juga teruja melihat penglibatan peserta-peserta yang rata-rata berusia antara 14 hingga 17 tahun itu.

Beliau juga kagum melihat kreativiti pelajar-pelajar berkenaan semasa aktiviti membina replika Menara Kembar Petronas dengan hanya menggunakan surat khabar.

“Saya juga telah memberi sedikit pemahaman mengenai keselamatan dan fungsi helmet,” tambahnya.

Bagi pelumba dari Britain ini, beliau percaya, pendedahan seperti ini dapat menyediakan golongan remaja menghadapi cabaran pada masa depan.

Pada masa sama, Juara Dunia F1 2014 itu giat melakukan persiapan bagi menghadapi perlumbaan dalam pusingan kedua FIA Formula One Grand Prix yang bermula hari ini dengan sesi kelayakan.

“Kami sudah berbincang tentang pendekatan untuk perlumbaan kali ini terutamanya tentang halangan-halangan yang kami bakal hadapi hujung minggu ini” katanya.

Hamilton juga mengakui Litar Antarabangsa Sepang merupakan antara litar dan perlumbaan yang paling sukar setiap musim.

Cabarannya untuk perlumbaan kali ini adalah cuaca Malaysia yang begitu panas, namun Hamilton tekad untuk mengekalkan prestasinya dari perlumbaan yang lalu di Australia di mana beliau menjuarai pusingan berkenaan sementara rakan sepasukannya Nico Rosberg di tempat kedua.