SELEPAS undian kumpulan bagi Liga Pro Evolution Soccer (PES) 2v2 Asia pada Sabtu, pasukan Malaysia dilihat berada dalam kumpulan bahaya apabila diletakkan sekali bersama Jepun dan Korea Selatan.

Pengurus PES Malaysia, Ahmad Yazid Abdul Rahman berkata, mereka tidak sama sekali lemah semangat malah bakal membentuk strategi membenam pihak lawan.

“Jepun antara negara yang mempunyai pemain yang hebat di rantau Asia.

“Strategi kami adalah mengkaji corak permainan lawan memandangkan mereka banyak melakukan penstriman langsung di media sosial.

“Kami cuba cari ruang untuk eksploitasi kekurangan lawan,” tambah Yazid ketika dihubungi Astro AWANI.

Empat orang anak muda terpilih untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan dua lawan dua ini (2v2), yang merupakan mod terbaharu diperkenalkan oleh pembangun PES, KONAMI.

Selain Jepun, pasangan Ahmad Ramli Hamsani dan Norameen Burhanuddin bakal bertembung dengan Korea Selatan dan Indonesia dalam Kumpulan C.


Sementara itu, gabungan Muhammad Khairul Amin Shamsudin dan Mohd Hafeez Shariffudin juga akan bertembung dengan Indonesia dalam pusingan kumpulan ini.

Mereka juga akan bertemu dengan Singapura dan Vietnam dalam Kumpulan B.

Kejohanan ini berlangsung pada Sabtu dan Ahad di Pantip e-Sports Arena, Bangkok, Thailand.