Tutup

Berita  | Sukan

AS limpahkan cahaya ungu dan emas buat memperingati Kobe Bryant

AS limpahkan cahaya ungu dan emas buat memperingati Kobe Bryant
Menara Empire State, New York antara bangunan yang menyalakan lampu ungu dan emas bagi mengingati pemergian bintang sukan itu. - Gambar Twitter @djhomicide
CALIFORNIA : Ribuan peminat Lakers berkumpul di Staples Center, Los Angeles bagi memperingati mendiang pemain bola keranjang legenda NBA, Kobe Bryant, pada Ahad.

Peminat melaungkan ucapan ‘Terima Kasih, Kobe’ serta membawa jambangan bunga dan menyalakan lilin di sekitar pusat tersebut.

Mereka yang hadir turut menyarungkan jersi Lakers sebagai tanda berkabung atas kematian bintang sukan itu.

Peminat menggangap pemergian beliau sangat mengejut dan ia merupakan satu kehilangan besar terutamanya dalam dunia sukan.
Pada pagi ahad, Kobe, 41 tahun, bersama lapan penumpang lain maut apabila helikopter dinaiki mereka terbakar dan terhempas di bandar Calabasas, California.

Turut berada dalam helikopter persendirian itu, anaknya Gianna Maria-Onore Bryant, 13 tahun, juga maut dalam nahas itu.
Seperti yang dilaporkan, tiada yang terselamat dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas itu.

Penghormatan turut diberikan pada malam Anugerah Grammy yang berlangsung beberapa jam selepas tragedi tersebut.

Pengacara Alicia Keys, meminta agar tetamu bertafakur seketika bagi memberi penghormatan kepada atlet tersebut sebelum persembahan khas oleh kumpulan Boyz II Men.

Lokasi anugerah Grammy juga kebetulan diadakan di Staples Center yang menjadi arena permainan bola keranjang Kobe sepanjang kariernya bersama Los Angeles Lakers.

Dalam pada itu, beberapa bangunan turut dilihat menyalakan lampu ungu bagi memperingati jasa atlet tersebut. Antaranya menara Empire State,New York, Lapangan Terbang Los Angeles (LAX), Stadium Mercedes Benz dan The College Football Hall of Fame di Atlanta, Georgia.

Turut berkongsi kesedihan, beberapa selebriti ternama seperti Jennifer Lopez, Leonardo DiCaprio, Michael Jordan, Ellen DeGeneres termasuklah bekas presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dan Presiden AS, Donald Trump.

Kobe Bryant yang merupakan juara NBA lima kali itu beraksi bersama Los Angeles Lakers selama 20 tahun sebelum bersara pada April 2016.

Pencapaian terbaik Bryant dalam arena sukan itu adalah apabila diangkat sebagai pemain NBA paling berharga (MVP) pada 2008.

Pada 2018, Bryant pernah merangkul Oscar untuk filem animasi pendek 'Dear Basketball'.



BACA: 'Mamba Forever' - Kobe Bryant ibarat adik - Michael Jordan




Tag: Kobe Bryant, Lakers, Los Angeles, Basketball, nahas helikopter, terhempas, Amerika Syarikat



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.