JAMES Milner yakin Liverpool akan bangkit semula walaupun tersingkir dari saingan Piala FA dan juga mengalami kekalahan pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kekalahan 2-1 di Stadium Molineux kepada Wolverhampton Wanderers dalam saingan Piala FA adalah yang kedua berturut-turut dialami skuad the Reds, selepas tumpas dengan keputusan yang sama kepada juara bertahan EPL, Manchester City.

Milner ternyata kecewa dengan kekalahan pada Isnin itu dan mengakui kesilapannya ketika menentang Wolves sebagai punca pasukan itu kalah, selepas terpaksa bangkit daripada ketinggalan.

Jumaat lepas, rekod tanpa kalah dalam liga Liverpool lebur selepas kalah 2-1 kepada City.

Dalam perlawanan menentang Wolves, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp membuat sembilan pertukaran degan memasukkan pemain remaja skuad itu untuk merehatkan pemain-pemain utama.

Bagi Klopp pemain utama perlu direhatkan selepas mengharungi dua perlawanan besar iaitu menentang Arsenal dan City.

Antara pemain remaja yang dimasukkan adalah Rafael Camacho, 18 tahun dan Ki-Jana Hoever, 16 tahun yang menggantikan Dejan Lovren yang cedera pada awal permainan.

Liverpool yang mendahului carta liga dengan empat mata di hadapan City, akan bertandang ke Stadium Falmer pada Sabtu untuk bertemu Brighton & Hove Albion.