PENYERANG Liverpool, Sadio Mane, percaya pasukannya perlu memenangi setiap baki perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini andai mahu merampas kejuaraan itu daripada Manchester City.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu merakamkan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Tottenham Hotspur, hujung minggu lalu, untuk kembali menerajui kedudukan liga dengan kelebihan dua mata di depan City, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Mane, yang menghasilkan 20 gol musim ini, berkata pasukannya memerlukan penamat sempurna bagi meraih kejuaraan yang kali terakhir dimenangi mereka pada 1990 itu.

"Sejujurnya, saya berasakan kami perlu memenangi setiap baki perlawanan musim ini dan ia juga masih belum dapat menjamin kejuaraan, kata penyerang kebangsaan Senegal itu kepada akhbar United Kingdom.

"Bagaimanapun, kami masih mampu untuk memenangi setiap baki perlawanan kerana kami pasukan yang baik dengan gaya permainan yang amat baik.

"Adakalanya, amat sukar untuk meneruskan aksi baik selepas waktu rehat antarabangsa kerana kami hanya mempunyai tiga sesi bersama-sama.

"Setiap orang tidak bersama pasukan, namun kami kembali bersatu dan memulakannya dengan kemenangan yang amat penting.

"Kami mempunyai tiga ke empat hari lagi untuk berlatih bersama seperti sebelum ini dan kami akan melakukannya sekali lagi," katanya.

Liverpool kelihatan akan keciciran mata ketika berkunjung ke laman Spurs sebelum Toby Alderweireld menyumbat masuk gol sendiri pada minit ke-90 gara-gara kesilapan Hugo Lloris.

Mane berkata kemenangan lewat itu meningkatkan semangat The Reds yang akan bertandang ke Southampton, Jumaat ini.

"Itulah yang memberikan anda motivasi dan membuatkan setiap pemain berkata 'ayuh, kita boleh melakukannya,' jadi saya berasakan ia kemenangan yang penting.

"Ia merupakan petanda yang amat-amat baik dan saya percaya setiap perkara adalah tidak mustahil.

"Jadi, ayuh lakukannya dan memenangi perlawanan itu," tambahnya.