TOTTENHAM 2 WATFORD 0

Hugo Lloris membuktikan mengapa dia adalah salah seorang penjaga gol terbaik di dunia dalam kemenangan 2-0 Tottenham ke atas Watford, kata pengurus, Mauricio Pochettino.

Dele Alli dan Harry Kane, yang menandakan penampilan Liga Perdana Inggeris ke-150 dengan menjaringkan gol, memastikan kemenangan rutin untuk Spurs tetapi mereka tidak beraksi dengan penuh keyakinan untuk tempoh yang lama di Wembley, awal pagi tadi.

Dalam separuh masa pertama, dua percubaan masing-masing daripada Andre Grey dan Richarlison diselamatkan kapten, Lloris, sekali gus menghalang Watford daripada mengimbangi jaringan pembukaan Alli.

Tottenham kini berada lima mata di hadapan Chelsea dengan tiga baki perlawanan untuk diharungi dalam perlumbaan untuk kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah.

Dan Pochettino memberitahu Sky Sports: "Saya fikir ia adalah hari yang baik untuk kami. Ia adalah penting untuk mendapatkan tiga mata kerana ia membolehkan kami berada dalam kedudukan yang baik.

"Ini adalah perlawanan wajib menang -- amat penting bagi kami. Mungkin kami tidak bermain seperti yang kami mahukan tetapi kami memperoleh tiga mata.

"Sepanjang musim, 10 bulan, sukar untuk terus bermain bola sepak dengan baik. Watford adalah lawan yang sukar, mereka bermain dengan baik, mencipta peluang besar.

"Hugo Lloris hebat dan menunjukkan mengapa dia adalah salah seorang yang terbaik di dunia. Saya gembira, tiga mata meletakkan kami dalam kedudukan baik," ujarnya.

Perlawanan itu adalah yang pertama di Tottenham sejak tewas 2-1 kepada Manchester United dalam separuh akhir Piala FA.

"Pasukan bangkit daripada kesukaran. Mereka kecewa selepas tewas kepada Manchester United," tambah Pochettino. "Watford bebas bermain, tiada tekanan, mereka selamat, bagi kami ia adalah tekanan besar untuk mendapatkan tiga mata.

"Tiga perlawanan di depan, saya rasa kami berada dalam keadaan yang baik. Untuk memenangi perlawanan dan menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik buat kali kedua (berturut-turut) akan menjadi hebat untuk kelab," katanya lagi.