Edisi ke-23 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 yang bermula Ahad ini menjanjikan saingan sengit dan penuh elemen kejutan terutamanya dengan kehadiran semula juara peringkat terbanyak, Andrea Guardini dari Itali yang kini bersama pasukan profesional benua, Bardiani-CSF.

Guardini yang lebih dikenali dengan gelaran 'Mr Langkawi' bukanlah nama asing dalam perlumbaan berbasikal terulung Asia itu yang diperkenalkan sejak 1996 dengan menyaksikan beliau meraih 22 kemenangan peringkat yang merupakan rekod terbaik yang masih gagal diatasi mana-mana pelumba setakat ini.

Pelumba kelahiran Tregnago, Itali itu meraih lima kemenangan peringkat pada 2011, enam (2012), satu (2013), dua (2014) dan masing-masing empat kemenangan peringkat pada 2015 dan 2016, selain meraih jersi biru selaku Raja Pecut sebanyak tiga kali iaitu pada 2011, 2012 dan 2016.

Saingan untuk perebutan jersi kuning selaku pemenang keseluruhan dijangka menjadi rebutan di antara pasukan berstatus Jelajah Profesional Dunia, Dimension Data dan juga pasukan pro benua yang kebanyakannya berpangkalan di Eropah.

Beberapa nama dijangka menjadi pilihan untuk meraih jersi berkenaan berdasarkan prestasi semasa mereka, antaranya pelumba Uzbekistan, Yevgeniy Gidich daripada pasukan Astana, pelumba kelahiran Eritrea, Mekseb Debesay (Dimension Data) dan pelumba Itali, Luca Paciano daripada pasukan Wilier Triestina - Selle Italia.

Saingan LTdL 2018 yang bertemakan 'A Tradition of Passion' dijangka tidak kurang menariknya dengan kehadiran beberapa pasukan baharu tempatan yang membuat penampilan sulung kali ini iaitu Forca Amskins Racing dan Team Sapura Cycling yang dibarisi bekas pelumba kebangsaan.

Mereka dijangka memberi cabaran hebat kepada pasukan berbasikal Terengganu (TSG) dan pasukan kebangsaan Malaysia yang menjadi dua lagi pasukan tempatan yang sah beraksi pada edisi tahun ini.

Sejumlah 22 pasukan berstatus Jelajah Profesional Dunia, profesional benua, benua dan pasukan kebangsaan mengesahkan penyertaan pada saingan kali ini meliputi jarak keseluruhan perlumbaan 1,341.2km, membabitkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

Hanya dua pasukan berstatus profesional dunia iaitu Dimension Data dan Astana menyertai saingan kali ini yang melibatkan lapan peringkat perlumbaan di lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

Selain itu, beberapa pasukan profesional benua yang mengesahkan penyertaan kali ini termasuk Androni Giocattoli-Sidermec, Bardiani CSF, Manzana Postobon, Wilier Triestina-Selle Italia dan Bennelong Swisswellness Cycling pada edisi yang dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 25 Mac ini.

Majlis pengenalan pasukan bakal diadakan di Dataran Lang, Kuah, di sini, hari ini.

Edisi kali ini akan bermula dari Kangar ke Kulim dengan jarak 147.9km, diikuti laluan mencabar dari Gerik ke Kota Bharu (208.3km), Kota Bharu-Kuala Terengganu (166.0km) dan Dungun-Pekan (177.6km).

Peringkat kelima dari Bentong ke Cameron Highlands sejauh 169.4km dengan pendakian berstatus Hors di Tanah Rata, bakal menjadi tumpuan untuk menentukan Raja Bukit, diikuti laluan paling singkat Tapah-Tanjung Malim (108.5km), laluan paling jauh Nilai-Muar (222.4km) sebelum tamat di Dataran Merdeka menerusi laluan Rembau-Kuala Lumpur (141.1km).

-- BERNAMA