ROMELU Lukaku mendedahkan dia hampir menyertai Juventus, tahun lalu, tetapi peluang untuk bekerjasama dengan Antonio Conte menjadi faktor utama penghijrahannya ke Inter Milan.

Pemain Belgium itu menamatkan tempoh dua musim bersama Manchester United apabila menyertai Inter dengan yuran berjumlah GBP74 juta (RM380 juta), Ogos lalu.

Lukaku menyinar dalam musim sulung di Itali, meledakkan 23 gol dalam 35 penampilan bagi semua kejohanan.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu mendedahkan dia hampir menyertai seteru utama Inter, Juve.
"Saya hampir menyertai Juve tetapi fikiran sentiasa ditetapkan untuk Inter dan pengurus," katanya.

"Sewaktu kecil, saya menyaksikan permainan Adriano, Ronaldo dan Christian Vieri.

"Jelas sekali apabila Inter datang dan pengurus, Conte, yang mahukan saya ketika di Chelsea dan Juventus, saya memilih untuk ke sana dan bekerja."

Lukaku kini telah mengatasi pencapaiannya sewaktu dalam musim terakhir di United selepas tidak menjadi pilihan Ole Gunnar Solskjaer.

"Setahun yang buruk boleh dialami oleh sesiapa sahaja dan saya telah melaluinya di United. Ia satu situasi sukar," tambahnya.

"Saya perlu membuat keputusan untuk berhijrah agar dapat belajar aspek lain dalam permainan dengan seseorang yang benar-benar mahukan saya.

"Solskjaer mahu saya kekal tetapi saya memaklumkannya bahawa ia sudah tamat. Saya tidak mampu. Pujian harus diberikan kepadanya kerana dia berani dan membantu saya melengkapkan perpindahan."

United dilihat meningkat dengan baik dalam musim penuh sulung Solskjaer selepas kehadiran Bruno Fernandes dan Odion Ighalo, Januari lalu.

"Mereka kini di landasan terbaik kerana membawa masuk pemain yang tepat," tambah Lukaku.

"Solskjaer melakukan tugas dengan baik dan meraih keputusan bagus.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya buat mereka. United telah memberikan saya platform yang tidak pernah saya raih."