Harapan skuad hoki negara untuk muncul juara Kejohanan Hoki Piala Asia 2017 buat kali pertama berkecai setelah dikecewakan India pada aksi final di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhashani di Dhaka, Bangladesh, malam ini.

Skuad bimbingan Stephen van Huizen yang buat kali pertama melangkah ke pentas final tewas tipis 1-2 dalam perlawanan sungguh mendebarkan yang disiarkan secara langsung oleh sebuah saluran televisyen berbayar negara.

Skuad negara ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama hasil jaringan padang oleh Ramandeep Singh seawal minit ketiga sebelum Lalit Upadhyay menggandakan jaringan pada minit ke-29 juga menerusi jaringan padang.

Bermula babak kedua barisan pemain negara mula memperkemas permainan serta melancarkan serangan bertali arus ke kubu India namun sering kali dikecewakan dengan kawalan ketat barisan pertahanan India yang menggagalkan usaha pemain negara yang diketuai oleh Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Muhammad Shahril Saabah memberi sedikit kegembiraan buat kem negara apabila meledak jaringan padang setelah menerima hantaran dari luar kotak penalti oleh rakan sepasukan pada minit ke-50.

Keputusan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan dan skuad negara terpaksa berpuas hati untuk muncul naib juara kejohanan berkenaan.

Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan ini ialah tempat ketiga pada edisi 2007 di Chennai, India.

Kejohanan itu juga menawarkan satu slot kepada juara untuk layak secara automatik ke Piala Dunia 2018.

Malaysia bagaimanapun telah layak secara merit untuk ke Piala Dunia tahun depan yang dijadualkan berlangsung di Bhubaneswar, India.

- BERNAMA