Bukan sahaja ramalan penyokong Liverpool meleset tetapi ketua jurulatih bola sepak kebangsaan, Dollah Salleh turut terkejut dengan persembahan anak buahnya menentang kelab liga perdana Inggeris itu.

Gabungan pertahanan dan penyerang asing ataupun awang import bersama pemain tempatan nampaknya memberi kesan yang positif untuk memastikan Malaysia tidak menjadi pasukan belasahan Liverpool walaupun mempunyai hanya empat hari untuk bersedia.

Dalam perlawanan persabahatan yang berakhir dengan keputusan seri satu sama semalam, pilihan Malaysia yang dibarisi pertahanan Thiago Junior De Aquino dan juga Vincent Bikana berjaya mematah hampir semua serangan yang dirancang Liverpool.

Malah, Malaysia hampir mendapat gol kemenangan pada masa kecederaan hasil serangan balas, satu kelemahan di bahagian pertahanan yang masih belum diperbaiki skuad kendalian Brendan Rodgers di liga Inggeris.

Rodgers dalam sidang media selepas perlawanan memuji persembahan pilihan Malaysia namun pada masa kecewa dengan kegagalan skuadnya meraih kemenangan pada perlawanan terakhir jelajah skuad itu ke Asia.

Sementara Dollah pula seakan membayangkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menimbang cadangan untuk memasukkan pemain asing ke dalam skuad Harimau Malaya melalui proses penaturalisasian.

Dollah menegaskan pemain tempatan banyak belajar daripada pemain asing yang membarisi skuad pilihan Malaysia menentang Liverpool terutama sekali daripada Thiago dan Vincent.

Bukan sahaja dari segi pertahanan malah skuad pilihan Malaysia memerlukan pemain asing untuk membolosi gawang Liverpool.

Patrick Ronaldinho Wleh berjaya meloloskan diri dari kawalan pertahanan utama Liverpool Martin Skrtel dan Dejan Lovren untuk merembat masuk gol pertama perlawanan pada minit ke-12.

Namun pendahuluan tidak kekal lama apabila Jordan Ibe yang memulakan gerakan serangan dari kanan padang berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28.

[GALERI FOTO]: Pasukan pilihan Malaysia 'asah' kuku, elak dibaham The Reds di Stadium Nasional

Liverpool yang menguasai permainan, banyak mensia-siakan peluang di depan gol pada babak pertama selain ketua pasukan yang baharu dilantik, Jordan Henderson kerap membuang bola ketika melancarkan serangan ke arah kubu Malaysia.

Pada babak kedua, penyerang Liverpool yang dipinjamkan ke Lille musim lepas, Divock Origi turut gagal menyudahkan peluang di depan gol apabila berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol kebangsaan, Khairul Azhan Khalid.

Lovren yang sering dijadikan kambing hitam akibat persembahan merosot Liverpool musim lepas pula terlepas empat peluang di depan gol, tiga daripada tandukannya hasil hantaran sepakan sudut tidak tepat ke sasaran walaupun tidak berdepan tekanan daripada pertahanan Malaysia.

Rodgers memberi alasan pemainnya letih kerana terlibat dalam jelajah di Asia selama dua minggu selain cuaca panas dan lembab menggangu rentak pemainnya.