Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah memutuskan untuk memihak Manchester City dan membatalkan hukuman penggantungan selama dua tahun daripada pertandingan Eropah yang dijatuhkan oleh UEFA pada Februari.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) telah mengumumkan Manchester City bakal digantung daripada menyertai kejohanan Eropah selama dua musim kerana melanggar peraturan financial fair-play (kewangan).

City, yang turut didenda EURO30 juta (RM134.5 juta), telah mengemukakan rayuan kepada CAS bagi membatalkan penggantungan tersebut dan mereka kini dapat menarik nafas lega kerana boleh beraksi dalam saingan UCL musim hadapan.

Bagaiamanpun, City, yang kini menghuni tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL), masih lagi disiasat pihak Liga Perdana.

Liga tersebut telah memulakan siasatan mereka pada bulan Mac tahun lalu, sehari selepas UEFA mendedahkan mereka meneliti tuntutan bahawa City telah melanggar peraturan.

Liga Perdana meneliti tuduhan yang sama, serta tuntutan berhubung pengambilan pemain akademi City dan pemilikan pemain oleh pihak ketiga.