Manchester United menewaskan Stoke City 3-0 awal pagi tadi untuk merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Manchester City.

Bagaimanapun, pengurus United, Jose Mourinho berpendapat tidak banyak yang berubah dalam pemburuan kejuaraan kerana ‘takdir’ menang atau kalah masih di tangan City, yang mendahului liga 12 mata di hadapan pasukannya.

Mourinho menegaskan jurang itu adalah penting dan dia sendiri pernah melaluinya.

United kini mengutip 50 mata daripada 23 perlawanan di tempat kedua manakala City di takhta dengan 62 mata.

Dalam perlawanan awal pagi tadi, Paul Pogba beraksi cemerlang untuk mencipta dua gol yang dijaringkan Antonio Valencia dan Anthony Martial pada babak pertama.

Valencia meledak gol di penjuru gawang pada minit ke-9 selepas menerima hantaran Pogba.

Martial pula menyudahkan hantaran Pogba dengan menewaskan penjaga gol Stoke, Jack Butland dari jarak 18 meter pada minit ke-38.

Romelu Lukaku melengkapkan kemenangan 3-0 United ke atas Stoke dalam babak kedua pada minit ke-72.

Ia merupakan gol ke-11 Lukaku pada musim ini.

Selepas ini, United akan bertemu Burnley pada 20 Januari.