Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, faham faktor kesihatan menjadi punca pelumba negara, Azizulhasni Awang, gagal mempertahankan gelaran juara dunia acara keirin dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia, Jumaat lalu.

Hasrat Azizulhasni sebelum berangkat ke Apeldoorn, Belanda, begitu berkobar-kobar bagi memastikan jersi pelangi kekal miliknya.

Namun, segalanya lebur ekoran masalah yang dialami Azizulhasni sehingga memaksanya akur tanpa sebarang keputusan memihak kepadanya.

BACA: Berbasikal Trek Dunia: Azizulhasni mohon maaf

Bagi Khairy, Azizulhasni sendiri sudah pun memaksa dirinya di tahap tertinggi untuk bersaing dengan jaguh dunia dalam situasi kesihatan yang tidak mengizinkan.

"Dia mengalami jangkitan virus dan kesihatannya terjejas, itu disahkan oleh pasukan khidmat sokongan kita di sana.

"Dalam keadaan seperti itu, kita tidak boleh menjangkakan dia mampu memberikan 100 peratus.

"Jadi, kami menganggap ia sebagai satu pengalaman kepada Azizulhasni yang terpaksa berlumba dalam keadaan tidak sihat," kata Khairy.

Jumaat lalu, Azizulhasni tumpas kepada pelumba nombor satu dunia, Andrii Vynokurov dari Ukraine dalam pusingan repechage acara keirin.

Kehampaannya berterusan dalam acara pecut 200 meter apabila tewas pula di tangan Jack Berlin dari Great Britain dalam pusingan pertama.