KYLIAN MBAPPE mahu beraksi di kejohanan Euro 2020 dan juga Olimpik Tokyo.

Mbappe meluahkan perasaannya itu di akaun Twitternya, sejurus skuad bawah 21 tahun Perancis itu mara ke separuh akhir kejohanan Eropah bawah 21 tahun minggu ini.

Penyerang Perancis berusia 20 tahun itu membantu skuad Les Blues memenangi Piala Dunia 2018 di Rusia.

Mbappe layak untuk beraksi dengan skuad bawah 21 tahun Perancis pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, walaupun tidak terlibat pada peringkat kelayakan.

Menurut laporan akhbar Perancis, Le Parisien, Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis Noel Le Graet menyerahkan keputusan untuk menyenaraikan Mbappe kepada jurulatih pasukan itu, Sylvain Ripoll.

Jika Perancis layak ke Euro 2020, Mbappe kemungkinan beraksi sehingga 12 Julai, iaitu final kejohanan tersebut, 10 hari sebelum sepak mula acara bola sepak di Tokyo.