PERANG mulut antara dua jaguh seni bela diri campuran (MMA) UFC, Khabib Nurmagomedov dan Conor McGregor nampaknya masih berterusan.

Terbaharu, Khabib dilaporkan berkata, keputusan McGregor untuk bersara sebagai petarung MMA adalah seperti seorang isteri cemburu yang selalu berkata "saya akan tinggalkan kamu", tetapi akhirnya kembali ke pangkuan suami.

Memetik laporan RT Sport News, Khabib, 30 tahun, dipercayai merujuk kepada pengumuman persaraan oleh McGregor pada 2016 tetapi akhirnya kembali ke gelanggang Octagon selepas empat bulan untuk bertemu dengan Nate Diaz.

Namun, pada 26 Mac lalu, McGregor sekali lagi mengejutkan peminat dengan mengumumkan persaraannya dari sukan itu menerusi pengumuman ringkas di akaun Twitternya.

BACA: Conor McGregor buat kejutan, umum bersara dari MMA

McGregor merupakan petarung pertama UFC yang memegang dua gelaran dunia serentak selepas menewaskan Eddie Alvarez di Manhattan, New York pada 2016.

Kali terakhir dia bertarung dengan Khabib ialah pada Oktober 2018, di mana petinju Ireland itu tewas menerusi 'submission' pada minit 3.03 pusingan keempat.

Susulan kekecohan yang berlaku selepas perlawanan di UFC 229, McGregor dan Khabib kini telah didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).

McGregor didenda sebanyak AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan, manakala Khabib pula didenda AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan.