JUARA lightweight UFC Khabib Nurmagomedov menolak sebarang kemungkinan untuk mengadakan pertarungan ulangan (rematch) dengan Conor McGregor.

Katanya, atlet dari Ireland itu tidak memenangi apa-apa petarungan seni bela diri campuran (MMA) sejak tiga tahun lalu untuk melayakannya memperoleh pertarungan tersebut.

"Dalam tempoh tiga tahun ini, dia hanya raih satu kemenangan, dalam tinju amatur. Bagaimana dia (hendak) layak dapat pertarungan ulangan?”

"Dia menyerah kalah, dia memohon kepada saya, 'tolong jangan bunuh saya.' Tony Ferguson ada dalam senarai (untuk lawan saya).

"Petarung lain yang sedang menang, ada dalam senarai, namun bukan lelaki yang tak menang apa-apa dalam tempoh tiga tahun ini,” kata Khabib ketika ditanya mengenai kemungkinan untuk mengadakan pertarungan ulangan dengan McGregor pada sidang media UFC 242 di London, pada Rabu yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi UFC.

Khabib, 30 tahun, akan mempertahankan kejuaraan lightweight yang disandangnya dengan juara lightweight interim, Dustin Poirier pada acara yang dijadualkan berlangsung pada 7 September di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dia baru-baru ini telah memperbaharui kontrak dengan UFC untuk kemunculannya pada acara tersebut nanti.

Poirier pula meraih gelaran juara lightweight interim UFC selepas menewaskan Max Holloway pada aksi UFC 236 di Atlanta, Georgia, April lalu.

Pertarungan di antara Khabib dan McGregor pada UFC 229, Oktober tahun lalu berakhir dengan McGregor ditundukkan menerusi 'submission' (kuncian) 'neck crank' pada minit 3.03 pusingan keempat.

Namun, selepas pertarungan, Khabib tiba-tiba naik angin dan membaling 'mouthpiece' ke arah cornerman McGregor.

Dia kemudiannya melompat keluar dari gelanggang dan menyerang pasukan McGregor.

Menurut Khabib, tindakan itu dilakukan selepas dia dihina berbulan-bulan oleh McGregor termasuk serangan bas di Brooklyn.

Dia kini sedang berehat dari sebarang aksi pertarungan MMA selain digantung perlawanan hingga September, susulan insiden pergaduhan tersebut.

Petarung dari Dagestan, Rusia itu didenda sebanyak AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung perlawanan selama sembilan bulan, manakala McGregor pula didenda AS$50,000 (RM205,355) dan digantung perlawanan enam bulan.