announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Sukan

McTominay mahu lap kemenangan United ke muka penyokong City

McTominay mahu lap kemenangan United ke muka penyokong City
Scott McTominay meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol kedua untuk pasukannya dalam perlawanan EPL antara Manchester United dan Manchester City di Old Trafford, Manchester, England, 8 Mac, 2020. (Foto AP)
SCOTT McTominay tidak sabar untuk "mengelap" kemenangan 2-0 Manchester United ke atas Manchester City dalam pertemuan 'derby' Liga Perdana Inggeris di Old Trafford awal pagi tadi ke muka rakannya yang menyokong seteru setempat itu.

United menewaskan City buat kali ketiga musim ini untuk melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 10 perlawanan dalam kesemua kejohanan walaupun aksi buruk penjaga gol lawan, Ederson, memudahkan tugas mereka dalam perlawanan berkenaan.

Penjaga gol kebangsaan Brazil itu gagal mengelamatkan sepakan voli Anthony Martial susulan hantaran licik Bruno Fernandes walaupun sudah menggunakan kedua-dua belah tangannya untuk menghalang percubaan itu ke penjuru kanan bawah gawangnya.

Ederson kemudian melakukan satu lagi kesilapan dalam waktu kecederaan apabila melontar bola ke arah pemain gantian, McTominay, yang melakukan sepakan lencong dari jarak 35 ela ke gawang City pada minit ke-96.

"Saya mengenali beberapa penyokong City, seorang atau dua, jadi agak baik untuk mengelap kemenangan ini ke muka mereka," katanya kepada Sky Sports.

"Ia sememangnya saat yang manis, terutama dalam permainan di mana kami boleh menjaringkan satu gol lebih awal untuk memenanginya.

"Pujian buat kesemua pemain, mereka pemain di kelas tertinggi.

"Ia perlawanan yang kami perlu menjadi lebih yakin selepas ini tetapi dalam beberapa minggu lagi, kami perlu mendapatkan keputusan yang baik dan meneruskan rentak seperti ini.

"Ia perasaan yang amat indah, di depan penyokong sendiri dan pada penghujung permainan.

"Kami tidak boleh terlalu terbawa-bawa tetapi kami perlu meneruskannya dan terus berusaha untuk ke Liga Juara-Juara," katanya.

McTominay melakukan penampilan kelimanya sejak kembali daripada rehat selama dua bulan gara-gara kecederaan lutut.

Dia memaparkan aksi yang mencuri tumpuan ketika United mempamerkan prestasi yang lebih baik.

"Anda dapat lihat rekod kami sepanjang perlawanan yang kami hadapi.

"Saya cedera selama dua bulan dan terdesak untuk kembali kerana saya dapat lihat peningkatan pasukan ini.

"Dapat diturunkan dan membantu pemain lain sememangnya sesuatu yang saya inginkan.

"Amat jelas, saya sedang merebut tempat saya, tiada jaminan kesebelasan utama buat kesemua pemain dalam pasukan ini dan semua pemain perlu berusaha keras setiap minggu.

"Bagi saya, ia perkara paling penting tetapi kami perlu sentiasa berpijak di bumi nyata dan terus berusaha.

"Kami memenangi perlawanan hari ini tetapi masih ada perlawanan seterusnya dan seterusnya," tambahnya.




Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro