Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin memberi bayangan akan melepaskan jawatan tertinggi dalam Persatuan Kanu Malaysia (Masca) dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata keputusan melepaskan jawatan itu bagi memberi sepenuh perhatian kepada persiapan atlet para untuk menghadapi Sukan Para ASEAN (APG) di Filipina, yang mungkin ditunda lagi susulan penularan jangkitan koronavirus baharu 2019 (2019-nCoV).

"Saya akan tunaikan janji dalam masa terdekat kerana APG mungkin ditunda lagi, saya harus fokus kepada atlet para.

"Saya akan buat pengumuman secara bertulis dan juga sidang media tapi saya tidak boleh beritahu bila. Cuma ia sudah dekat," katanya pada sidang media khas berikutan isu penundaan kali kedua APG, di sini hari ini.

Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) telah mencadangkan kepada Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC) untuk menjadualkan semula APG ke tarikh seterusnya, selepas menangguhkan temasya dwitahunan dari 18 hingga 24 Jan kepada 20 hingga 28 Mac, susulan kekangan kewangan dan logistik.

CNN Filipina melaporkan bahawa keputusan akhir, bagaimanapun, akan diambil oleh PPC kerana Presidennya, Mike Barredo, dijangka bertemu dengan Persekutuan Sukan Paralimpik ASEAN (APSF) di Bangkok, Thailand pada Jumaat bagi membincangkan tindakan yang bakal diambil, iaitu kemungkinan menangguhkan APG sehingga Mei atau Jun.

Megat D Shahriman, yang juga presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur, sebelum ini berjanji untuk melepaskan salah satu jawatan yang dipegang dalam persatuan sukan selepas dipilih menjadi presiden MPM pada 14 Dis lepas.

Malah, Megat D Shahriman kini berdepan masalah undi tidak percaya daripada ahli gabungan Masca atas beberapa tindakan beliau yang dikatakan menyalah guna akaun persatuan, selain didakwa memilih individu yang mempunyai pertalian persaudaraan bagi mengisi jawatan bendahari.

-- BERNAMA