Keputusan tuan rumah Sukan SEA ke-30, Filipina yang bertindak memindahkan beberapa venue pertandingan ke Manila pada saat-saat akhir, jelas menimbulkan rasa tidak puas hati Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Beliau mendapat maklumat bahawa Filipina telah memindahkan beberapa venue pertandingan dari kluster Clark ke Manila, sekali gus bakal memberi kesan kepada pergerakan kontinjen negara bertanding, kerana ibu negara Filipina itu telah sedia sesak.

Pada masa yang sama, Megat Zulkarnain turut mendakwa Filipina masih belum mengedarkan buku panduan teknikal (technical handbook) dalam beberapa acara sukan yang sepatutnya sudah diedarkan kepada negara bertanding, sekali gus bakal mengundang masalah kepada atlet dan pegawai, membuat persediaan lebih awal sebelum hari pertandingan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia akan membangkitkan isu berkenaan pada mesyuarat Ketua Kontinjen Sukan SEA 2019 di Manila pada pertengahan bulan depan.

"Saya telah maklumkan kepada pengurus pasukan (kontinjen negara) untuk bersedia secara mental, kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku (apabila berada di Filipina), dan saya masih ada kepercayaan tinggi, bahawa akan ada venue baharu yang mereka (Filipina) cuba cadangkan," katanya selepas melawat skuad skuasy kebangsaan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, atlet negara akan menikmati makanan yang sedia dimasak di sepanjang menyertai Sukan SEA ke-30, selepas Filipina gagal memberi jaminan penyediaan makanan halal untuk temasya sukan berkenaan.

Katanya perkara berkenaan telah dipersetujui Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, dan ia turut dimaklumkan kepada pengurus sukan yang akan terlibat pada Sukan SEA nanti.

"Saya tidak percaya mereka (Filipina) boleh menyelesaikan isu makanan halal dengan betul, dan sebab itu kita ambil keputusan untuk selesaikan sendiri, iaitu dengan membawa sendiri makanan halal dari negara ini.

"Di situ, saya fikir tidak ada masalah akan timbul terutamanya isu doping dan masalah lain," tegas Megat Zulkarnain.

Untuk rekod, Filipina bakal mempertandingkan 56 acara di tiga kluster iaitu Manila, Clark dan Subic dari 30 Nov sehingga 11 Dis.

-- BERNAMA