Pemanah wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, berjaya mencipta rekod baru Sukan SEA dan kebangsaan selepas mencatat pungutan mata berjumlah 696 di peringkat kelayakan acara compound individu wanita saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sebentar tadi.

Dia berjaya mengetepikan saingan sengit daripada pemanah utama Filipina, Amaya Amparo Cojuangco, serta wakil Thailand, Kanyavee Maneesombatkul, apabila kedua-duanya meraih 695 mata.

"Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan aksi pada pagi ini dan berharap dapat meneruskan momentum pada saingan petang nanti.

"Saya tidak memikirkan tentang mata sebaliknya hanya fokus kepada apa yang saya perlu lakukan," katanya.

Fatin akan kembali beraksi pada petang ini jam 2.30 petang dalam saingan kalah mati.