Tutup

Berita  | Sukan

Memori manis peroleh tiket ke Piala Dunia 2018 jadi pembakar semangat Malaysian Tigers

Memori manis peroleh tiket ke Piala Dunia 2018 jadi pembakar semangat Malaysian Tigers
Mohamad Sukri percaya memori itu telah diserap dalam pasukan dengan harapan Malaysia mampu layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. - Bernama
KUALA LUMPUR: Memori manis pada 2017 yang melayakkan Malaysia ke Piala Dunia 2018 di Stadium Hoki Lee Valley, London menjadi penyuntik keyakinan buat pasukan hoki kebangsaan untuk hadirkan kejutan pada perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2020.

Kapten pasukan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib percaya memori itu telah diserap dalam pasukan dengan harapan Malaysia mampu layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
"Kita hanya perlu yakin kepada diri sendiri serta pasukan dan tahu apa objektif kita di London nanti. Kita perlu mengambil sedikit memori pada tahun 2017 bagaimana kita layak secara merit ke Piala Dunia 2018 apabila ramai tidak menjangkakan.

"Situasi yang sukar, sama seperti sekarang. Jadi memori manis pada ketika itu kami serapkan dalam pasukan dan dengan harapan kita akan layak ke Tokyo 2020 pula," katanya pada sidang media semasa pengumuman senarai 18 pemain ke perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2020 di London pada 2 dan 3 Nov ini.
Malaysia memperoleh tiket automatik ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 selepas mara ke final Kejohanan Siri Final Lelaki FIH 2019 di Kuala Lumpur pada Mei lepas.

Great Britain di bawah bimbingan Danny Kerry dibarisi pemain pasukan di ranking ketujuh dunia, England, Wales (18) dan Scotland (19) sementara skuad kebangsaan menghuni ranking ke-11 dunia.

Kali terakhir Malaysia beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu adalah pada Sukan Olimpik 2000 di Sdyney, Australia.

Ditanya sama ada Mohamad Sukri akan mengikut jejak langkah rakan sepasukan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil yang memberi bayangan akan bersara sekiranya misi untuk layak ke saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak berjaya, Mohamad Sukri berkata:

"Sejujurnya belum lagi mahu bersara walaupun tidak layak ke Tokyo 2020. Fasa sekarang saya hanya fokus untuk layak ke Tokyo dan saya tidak pernah terfikir untuk menggantung kayu atau kasut selepas perlawanan ini, sama ada layak atau tidak," katanya.

Pemain pertahanan berusia 33 tahun itu mengakui gerak hatinya menyatakan Malaysian Tigers mampu memberi saingan sengit kepada Great Britain dan layak ke Sukan Olimpik.

-- BERNAMA


Tag: hoki, malaysian tigers, sukan, kelayakan sukan olimpik, olimpik tokyo, olimpik 2020, Mohamad Sukri Abdul Mutalib



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.