Berita  | Sukan

Mengarut! Tegas Syed Saddiq terhadap dakwaan Chong Wei tarik diri

Mengarut! Tegas Syed Saddiq terhadap dakwaan Chong Wei tarik diri
Syed Saddiq berkata dia sempat melawat Chong Wei pada Rabu minggu lepas. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq menyifatkan dakwaan sesetengah pihak bahawa pengunduran jagoan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dari penyertaan Sukan Asia dan Kejohanan Dunia kerana sebab tersembunyi, adalah mengarut sama sekali.

Beliau sendiri katanya menziarahi Chong Wei pada pagi Rabu minggu lepas dan memang atlet berusia 35 tahun itu mengalami masalah respiratori dan berharap semua pihak dapat memberi ruang kepadanya untuk berehat dan sembuh sepenuhnya.
“Ada yang kata beliau tarik diri kerana sebab terlibat dalam skandal 1MDB dan sebagainya. Itu mengarut, fitnah dan penipuan.

“Janganlah kita hina hero negara, perbezaan politik itu biasa tetapi kita takkan lupa jasa beliau sebagai atlet yang telah harumkan nama negara,” katanya dalam sidang media di Menara KBS di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan yang majlis rasmi penyerahan bendera kepada kontinjen Sukan Asia akan diadakan 10 Ogos nanti yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada majlis itu nanti katanya, mereka akan mengumumkan dan membentangkan rancangan termasuk sasaran pingat untuk temasya yang akan membuka tirainya pada 18 Ogos di Jakarta dan Palembang, Indonesia.