Impian Piala Dunia Lionel Messi dan Argentina masih bernyawa tatkala pertahanan Marcos Rojo menyumbat gol kemenangan berharga pada minit-minit akhir perlawanan menentang Nigeria yang berlangsung penuh drama di Saint Petersburg.

Rojo meluru masuk ke petak penalti lawan untuk merembat terus hantaran lintang Gabriel Mercado untuk menewaskan penjaga gol Francis Uzoho pada minit ke-86, mencetus gegak gempita penuh emosi para penyokong La Albiceleste.

Ketika Argentina masih mempamer corak permainan yang tidak meyakinkan, Lionel Messi akhirnya muncul sebagai pencetus semangat pasukannya dengan meledak gol pembukaan pada minit ke-14 hasil hantaran jauh Ever Banega.

Jaringan itu juga merupakan gol ke-100 yang dijaringkan dalam temasya kali ini sejak ia membuka tirai 14 Jun tempoh hari.

Messi hampir menggandakan pendahuluan pada minit ke-32 apabila sepakan percumanya berjaya memperdaya Uzoho, namun tidak bernasib baik untuk sekadar menghentam tiang kiri gawang.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa pertama, namun aksi kurang kemas berterusan di babak kedua membawa padah apabila Javier Mascherano didapati menjatuhkan Leon Balogun dalam kawasan penalti sendiri, dan Victor Moses mudah menyempurnakan sepakan untuk mengikat kedudukan pada minit ke-49.

Argentina terus buntu untuk memecah benteng Super Eagles, sambil berbalas serangan yang membuatkan penonton tak senang duduk.

Satu mata sudah cukup untuk Nigeria mara ke pusingan kalah mati selepas mencatat kemenangan dalam perlawanan terdahulu menentang Iceland, dan tumpuan wakil Afrika itu lebih kepada mempertahankan kedudukan.

Percubaan demi percubaan dilancarkan, hingga akhirnya rembatan voli Rojo menerjah jaring untuk mengesahkan kemaraan Argentina, sekaligus menyelamatkan maruah mereka daripada mengulangi sejarah hitam tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2002.

Cabaran getir terus menanti Argentina apabila bakal bertemu juara Kumpulan C, Perancis di pusingan kalah mati pada 30 Jun jam 10 malam.

Nigeria yang mengutip tiga mata, hanya satu mata di belakang Argentina, terpaksa mengucapkan selamat tinggal bersama Iceland yang masing-masing menghuni tangga ketiga dan keempat Kumpulan D.