LIONEL MESSI, Cristiano Ronaldo dan Virgil van Dijk merupakan finalis untuk merangkul anugerah Terbaik FIFA.

FIFA mengumumkan senarai pendek 10 pemain, Julai lalu, dan kini tiga pemain terakhir merebut anugerah individu itu telah didedahkan.

Frenkie de Jong, Matthijs de Ligt, Harry Kane, Eden Hazard, Sadio Mane, Kylian Mbappe dan Mohamed Salah merupakan tujuh pemain daripada senarai 10 pemain asal itu.

Pertahanan Liverpool, Van Dijk, dilihat sebagai pilihan selepas memainkan peranan ketika membantu Liverpool menjulang Liga Juara-Juara (UCL) dan mencabar takhta Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan menamatkan saingan satu mata di belakang juara, Manchester City.

Dia turut diangkat sebagai Pemain Terbaik UEFA menewaskan Messi dan Ronaldo -- pemain kedua mengatasi dua bintang terbaik dunia itu selepas Luca Modrid musim lalu.

Pemain kebangsaan Belanda itu turut membantu negaranya melangkah ke final Liga Negara-Negara UEFA, namun tewas kepada pasukan yang diketuai Ronaldo, Portugal.

Ronaldo turut menikmati musim yang cemerlang di peringkat kelab, membantu Juventus menjuarai gelaran Scudetto kelapan berturut-turut sementara menamatkan saingan selaku penjaring terbanyak dengan 28 gol.

Bilangan jaringan Messi jauh mengatasi Ronaldo, dengan bintang Barcelona itu meledak 51 gol secara keseluruhan, termasuk 36 daripada 29 penampilannya dalam LaLiga dan membantu Barcelona mempertahankan trofi LaLiga.

Aksi cemerlangnya menyaksikan dia menerima Anugerah Kasut Emas Eropah di samping melakukan tiga bantuan jaringan sepanjang musim lalu.

Rakan sepasukan Messi, Marc-Andre ter Stegen, turut tersenarai dalam pencalonan penjaga gol terbaik, dengan penjaga gol City dan Liverpool, Ederson dan Alisson, menjadi pesaingnya.

Tiga pengurus Liga Perdana Inggeris (EPL), Jurgen Klopp, Pep Guardiola dan Mauricio Pochettino pula tersenarai untuk anugerah Pengurus Terbaik FIFA.

Kesemua pemenang akan diumumkan pada 23 September ini.