Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) kini boleh menarik nafas lega apabila sebahagian bebanan tunggakan gaji bekas pemain dan jurulatih terdahulu telah dilangsaikan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melalui pemotongan hak penyiaran pada musim 2019.

Presiden KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata sebanyak RM500,000 yang diterima daripada MFL pada 15 Julai lalu telah digunakan untuk membayar hutang dan pihaknya menanti pembayaran bagi fasa kedua hak penyiaran.

Melalui kenyataan media oleh MFL, Wan Abdul Rahim berkata baki tunggakan selebihnya akan dibayar oleh MQ Technology Berhad berdasarkan pakej kewangan yang telah dipersetujui bersama dengan KAFA.

"Sebahagian daripada isu ini sudah ada cara penyelesaian dan ia akan dikemukakan oleh FAM pada pertengahan September nanti bagi permohonan pelesenan kelab.

"KAFA mahu ucapkan terima kasih kepada MFL yang sanggup membantu KAFA memandangkan banyak kes tunggakan gaji ini sudah libatkan FIFA dan sudah tidak ada peluang lagi bagi kami untuk membuat sebarang rayuan, " katanya.

Pada 23 Ogos lalu, satu pertemuan antara KAFA dan MFL telah diadakan bagi membincangkan isu membabitkan pelesenan kelab di mana mulai tahun hadapan semua pasukan dari Liga Premier diwajibkan mempunyai pelesenan kelab walaupun tidak seketat pasukan yang bersaing di Liga Super.

Kelantan yang berdepan beberapa isu tunggakan gaji dilihat perlu segera menyelesaikan perkara berkenaan jika tidak mahu mengganggu urusan permohonan pelesenan kelab terutama pada aspek pengurusan kewangan.

"Perjumpaan dengan MFL juga turut membabitkan wakil dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan pandangan yang mendalam mengenai pelesenan kelab memandangkan kami baharu sahaja mengambil alih KAFA.

"Kami mempunyai susunan pakej bagi selamatkan bola sepak Kelantan dan bertuah kerana adanya perjanjian persefahaman (MoU) dengan MQ Techology, untuk memastikan faktor kewangan Kelantan berjalan lancar pada musim akan datang," katanya.

-- BERNAMA