BEKAS presiden UEFA, Michel Platini dibebaskan oleh badan Polis Anti-Rasuah Perancis selepas selesai siasatan berkaitan dengan keputusan penganugerahan hak penganjuran Piala Dunia 2022 kepada Qatar.

Platini ditahan di Nanterre di Paris pada pagi Selasa dan dibebaskan pada lewat malam.

Menurut laporan BBC, Platini memberitahu tempoh tahanannya agak lama apabila dia disoal mengenai Euro 2016, Piala Dunia di Rusia, Piala Dunia di Qatar dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Polis Anti-Rasuah Perancis sedang menyiasat wujud unsur rasuah yang dikaitkan dengan Piala Dunia 2018 dan 2022 sejak dua tahun yang lalu, di mana bekas Presiden FIFA, Sepp Blatter turut disiasat.

Peguam yang mewakili Platini mengeluarkan kenyataan bahawa beliau telah memberi kerjasama kepada para penyiasat dan pertuduhan selama ini adalah sia-sia.

Platini, 63 tahun merupakan legenda bola sepak Perancis yang memenangi anugerah Ballon d’Or sebanyak tiga kali dan sebahagian daripada skuad Perancis yang memenangi Euro 1984.

Penganugerahan hak penganjuran Piala Dunia kepada Qatar pada 2022 dibayangi unsur rasuah apabila tersebarnya e-mel bekas presiden FIFA, Jack Warner bahawa Qatar ‘membeli’ hak penganjuran tersebut.

Platini digantung oleh FIFA daripada sebarang aktiviti bola sepak selama lapan tahun bermula 2015, selepas didapati bersalah menerima lebih dua juta Swiss Francs (RM7.96 juta) daripada Sepp Blatter, yang merupakan Presiden FIFA ketika itu.

Hukuman itu kemudian dikurangkan kepada empat tahun selepas siasatan dibuat pihak berkuasa Switzerland.

Penggantungan dikurangkan kepada dua tahun lagi apabila Platini memfailkan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebelum pendakwa raya Switzerland mendapati beliau tidak bersalah dan bebas daripada sebarang hukuman tahun lepas.