Berita  | Sukan

'Misi balas dendam' Polis Batu Pahat

'Misi balas dendam' Polis Batu Pahat
Pasukan bola jaring IPD Batu Pahat, juara Piala Ketua Polis Johor 2018. - AWANI Rangers UTHM
BATU PAHAT: Tahun lalu, pasukan bola jaring Ibu Pejabat Polis (IPD) Batu Pahat telah berjaya melangkah ke pusingan final Piala Ketua Polis Johor 2017 setelah 10 tahun menanti saat itu.

Namun di peringkat akhir kejuaraan tersebut, IPD Batu Pahat tewas kepada pasukan IPD Sri Alam dengan perbezaan satu mata sahaja.

Bagaimanapun, kegagalan lampau langsung tidak melemahkan semangat mereka.
Tahun ini, IPD Batu Pahat hadir kembali dengan jurulatih baharu dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim, untuk menyertai pertandingan bola jaring Piala Ketua Polis Johor 2018.

Pertandingan tersebut diadakan di Edu Sport Center, Nusajaya, Johor baru-baru ini.

Dari peringkat awal hingga ke perlawanan akhir, kemenangan berpihak kepada IPD Batu Pahat. Di pusingan final, IPD Batu Pahat berjaya menewaskan pasukan dari IPD Kluang dengan jaringan 22 berbalas 13 untuk menjuarai kejohanan tersebut.

Menurut Mohd Hilmi, fokus IPD Batu Pahat tidak pernah terganggu dan mereka kekal nekad untuk menang.

"Kemenangan pasukan ini lebih bermakna kerana dapat menebus kesilapan tahun lepas dan membawa pulang trofi untuk tahun ini," tambahnya.

Sikap tidak pernah mengalah dan sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik seperti IPD Batu Pahat membuktikan semangat kesukanan yang tinggi dalam mengejar kejayaan.


* Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Anbia Adam dan Amy Rahim dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Suntingan oleh Suriayati Baharom.

** Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

*** AwaniRangers UTHM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.