Berita  | Sukan

MMA: AJ sudah bersedia untuk beraksi di Jakarta

MMA: AJ sudah bersedia untuk beraksi di Jakarta
AJ mengakui dia tidak mempunyai banyak masa untuk berehat kerana perlu memastikan dirinya berada dalam keadaan fizikal terbaik ketika perlawanan. - Foto Instagram/@ajpyro
KUALA LUMPUR: Setelah dua tahun menyepi, AJ 'Pyro' Lias Mansor, kini bersedia untuk memberikan persembahan yang hebat pada acara ONE Championship di Jakarta, Indonesia, 19 Januari ini.

ONE: ETERNAL GLORY merupakan acara sulung ONE Championship tahun ini dan pada masa sama menyaksikan kemunculan pertama atlet dari Sabah itu dengan organisasi seni mempertahankan diri terbesar dunia selepas dua tahun.

Walaupun sudah lama tidak beraksi di gelanggang selepas pulih daripada pembedahan kritikal di kepalanya, AJ kelihatan sudah bersedia untuk kembali ke pentas selepas menjalani sesi kem latihan terbaik sepanjang kariernya.

“Kem latihan itu sangat hebat.

“Saya berjaya mengasah kemahiran dan mempertingkatkan skil permainan dalam sukan seni mempertahankan diri.

Atlet berusia 43 tahun itu, memulakan sesi latihan di Infinity Brazilian Jiu-Jitsu (BJJ) yang bertempat di Cheras, Kuala Lumpur, di mana beliau turut mempraktikkan teknik perlawanan dengan pakar sukan BJJ iaitu Ky Jeffers.

“Saya berlatih teknik pukulan dan pergelutan bersama Ky Jeffers dan dia banyak mengajar saya.
“Apa yang menarik mengenai sukan ini adalah kita dapat belajar perkara baharu setiap hari,” jelas AJ.

Selepas menghabiskan masa seminggu di Cheras, AJ kemudian 'berpindah' pula ke Bangsar untuk berlatih bersama Sensei Takahashi Masanori di Bangsar Judo.

BACA: MMA: Sembuh dari ketumbuhan di kepala, AJ kembali lebih bersemangat

“Ia merupakan satu pengalaman bermakna kepada saya memandangkan sudah lama saya tidak berada di kem latihan.

“Dengan Masanori, saya banyak melakukan latihan penyesuaian kerana ia sangat penting, memandangkan saya sudah agak berusia.

Juara Malaysian Featherweight ONE Championship itu mengakui dia tidak mempunyai banyak masa untuk berehat kerana perlu memastikan dirinya berada dalam keadaan fizikal terbaik ketika perlawanan.

Pada akhir bulan lalu, pemilik Skuad Borneo Tribal itu juga turut mengembara selama seminggu ke Tiger Muay Thai dan MMA di Phuket, Thailand, sebagai persediaan perlawanan.

Di sana, saya mempertingkatkan latihan bersama ketua jurulatih, George Hickman.

“Selama ini bergusti merupakan kekuatan saya, namun, pukulan saya juga kini semakin baik.

AJ akan mengakhiri sesi latihannya di Sabah sebelum terbang ke Jakarta untuk pertarungannya menentang Yohan 'The Iceman' Mulia Legowo dari Indonesia.

Bagaimanapun, atlet itu berhasrat untuk meneruskan sesi latihannya di Jakarta.

“Saya akan kembali ke gim saya (Borneo Tribal Squad) untuk persiapan terakhir.

“Namun sebaik saja tiba di Jakarta, saya akan memulakan sesi latihan kerana saya tidak mahu membuang masa.

AJ yang cukup berpengalaman akan beraksi di pentas global, malah, pernah melatih beberap atlet seni mempertahankan diri yang terkenal di Malaysia, termasuk Ann Osman; Audreylaura Boniface dan Hisyam Samsudin.

Dia juga pernah melatih atlet strawweight dari Filipina, Jeremy Miado.

Pada pertarungan kali ini, peminat boleh mengharapkan prestasi yang cemerlang daripada perintis sukan seni mempertahankan diri Malaysia ini.