Atlet muda MMA wanita negara, Jihin Radzuan berjaya melakar kejayaan pada malam ONE: Masters Of Destiny di ibu negara sebentar tadi selepas menundukkan lawannya Jomary Torres dari Filipina.

Jihin memulakan langkah ke gelanggang dengan diiringi pasukannya serta pelakon popular tempatan Zul Ariffin dan penyanyi baru, Aman RA.

Kedua-dua artis itu terlibat dalam filem MMA pertama Malaysia, Sangkar.

Pertarungan bermula rancak dengan Jihin kelihatan memberi tekanan pada lawannya dan terus mara depan dengan beberapa tumbukan padu.

Namun pada minit kedua, Jihin membuat satu gerakan ‘take down’ dan membawa pertarungan ke lantai gelanggang.

BACA: MMA: Ev Ting tewaskan Daichi Abe, lakar kemenangan untuk Malaysia

Jihin dilihat cuba menamatkan pertarungan dengan percubaan ‘armbar’ namun Torres yang masih bertenaga berjaya mematahkan serangan.

Buat seketika Torres dilihat mendominasi pertarungan dengan menghempas Jihin ke lantai semasa Jihin berpaut padanya.

Dengan pengalaman yang ada, Jihin berjaya membuat beberapa serangan dan akhirnya mengunci kepala Torres dengan gerakkan ‘triangle choke’.

Torres tidak cepat mengalah dan terus bergelut untuk melepaskan diri. Namun pada minit ke 1:53 pusingan pertama, Torres akhirnya mengalah.

Dengan kemenangan itu, Jihin yang dikenali dengan nama jolokan 'Shadow Cat', melebarkan rekodnya kepada 5-1.