Tutup

Berita  | Sukan

MMA: Jihin sasar satu hingga dua tahun untuk bergelar juara dunia

MMA: Jihin sasar satu hingga dua tahun untuk bergelar juara dunia
JIHIN: Masih terlalu awal untuk saya mendapatkan pertarungan bagi merebut kejuaraan. - Foto ONE
KUALA LUMPUR: Seni bela diri campuran (MMA) merupakan salah satu sukan yang pesat berkembang di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia.

Kewujudan ONE Championship di rantau ini telah banyak membantu petarung MMA negara menempa nama di persada antarabangsa.

Walaupun Malaysia mempunyai wakil dalam sukan MMA, tetapi harus diakui kita masih belum dapat merasai kejuaraan dunia dari mana-mana organisasi MMA.

Petarung muda yang berpontensi besar, Jihin Radzuan bila diajukan soalan berkenaan, memilih satu jangka masa yang realistik bagi dirinya.
"Saya baru menjadi petarung MMA profesional selama setahun setengah. Masih terlalu awal untuk saya mendapatkan pertarungan bagi merebut kejuaraan," kata Jihin ketika ditemui pada acara 'Malam Media ONE Championship' di ibu negara baru-baru ini.

"Saya perlu dapatkan beberapa kemenangan dan selepas tu saya mahu bertarung untuk kejuaraan. Mungkin dalam jangka masa setahun atau dua tahun."
Berasal jadi Johor Bahru, Jihin tidak mahu dilihat tergesa-gesa mencuba nasib dalam pertarungan merebut kejuaraan.

"Memang impian saya untuk bawa balik kejuaraan untuk Malaysia. Saya nak jumpa dengan pelbagai jenis petarung, yang mahir "striking" dan juga yang hebat dengan 'ground game'. Lepas itu baru saya layak bertarung untuk merebut kejuaraan," tegas Jihin.

Dikenali dengan nama jolokan 'Shadow Cat', Jihin akan kembali beraksi pada acara ONE: Masters of Destiny pada 12 July ini yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Tewas pada pertarungan sebelum ini, Jihin bangaimanapun yakin akan mendapat kemenangan ke atas lawannya, Jomary Torres.

"Sedikit sebanyak memang saya kecewa dengan kekalahan lepas. Tetapi saya sudah pandang ke hadapan dan saya akan buat yang terbaik untuk pertarungan yang akan datang," katanya lagi.

Selain mempelajari cara bertarung lawannya, persiapan Jihin kali ini termasuk berlatih pada siang dan malam hari, mengenakan diet pemakanan yang ketat serta mempersiapkan diri secara mental dan fizikal.

Selepas lima pertarungan MMA di pentas ONE Championship, Jihin kini memegang rekod empat menang dan satu kalah.




Tag: seni bela diri campuran, MMA, ONE Championship, mixed martial arts, Jihin Radzuan, juara dunia, petarung MMA profesional, ONE Masters of Destiny, Jomary Torres



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.