Tutup

Berita  | Sukan

Mobile Legends: EVOS intai bakat Malaysia, tidak mahu pemain 'toksik'

Mobile Legends: EVOS intai bakat Malaysia, tidak mahu pemain 'toksik'
EVOS merupakan antara pasukan gergasi Mobile Legends di rantau ini berikutan populariti dan skil pemain pasukan tersebut termasuk Justin jessnolimit, Eko Oura Julianto, Sebastian IOS Klemens, Steve Marsha dan Yurino Donkey.
KUALA LUMPUR: Pasukan Mobile Legends terkemuka di rantau ini, EVOS Esports (EVOS) kini sedang mencari pemain Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif EVOS Esports Ivan Yeo berkata langkah itu adalah bagi meningkatkan kekuatan dan kemampuan pasukan secara keseluruhan.

“Saya percaya setiap negara mempunyai bakat-bakat tersendiri yang kita boleh pelajari antara satu sama lain.

“Saya juga mahu mencari pemain profesional di Singapura untuk sertai pasukan ini memandangkan saya berasal dari negara itu.

"Sebelum ini juga saya terfikir bagaimana saya boleh membantu negara-negara itu dari segi pembangunan industri e-sukan dan kini saya mempunyai peluang dan kapasiti untuk melakukannya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
EVOS yang kini bertapak di Jakarta, Indonesia, merupakan antara pasukan gergasi Mobile Legends di rantau ini berikutan populariti dan skil pemain pasukan tersebut termasuk Justin ‘jessnolimit’, Eko ‘Oura’ Julianto, Sebastian ‘IOS’ Klemens, Steve ‘Marsha’ dan Yurino ‘Donkey.’

Pasukan itu kini berada di kedudukan ke-tujuh ranking global Mobile Legends

 

Sementara itu, apabila ditanya adakah pemain Malaysia yang akan menyertai mereka akan diangkat sebagai pemain sepenuh masa, ini jawapan Ivan: “Setakat ini pemain kami di Vietnam, Indonesia dan Thailand adalah pemain profesional sepenuh masa.

“Jika di Malaysia dan Singapura, kami tidak belum lagi menyediakan keperluan seperti ini di peringkat awal.

“Namun, kami sedang menyediakan satu langkah baharu yang istimewa untuk pemain di Malaysia dan Singapura. Kami akan umumkan nanti,” katanya.
Tidak mahu pemain ‘toksik’

Ivan turut menegaskan yang beliau tidak mahu pemain yang mempunyai perangai ‘toksik’ untuk menyertai pasukan mereka.

“E-sukan adalah permainan video secara berpasukan dan pemain toksik adalah individu yang sukar memberi kerjasama.

“Secara individu mungkin dia seorang pemain yang hebat, tetapi ketidakupayaan untuk bekerja sebagai satu pasukan akan menjadi satu isu besar apabila kami melakukan susunan barisan pemain nanti,” tambahnya.

 

Pemain toksik adalah gelaran dalam dunia permainan video yang diberikan kepada individu yang dilihat sukar untuk memberi kerjasama dalam satu-satu pasukan.

Lantaran itu, Ivan menjelaskan beberapa kriteria yang dicari bagi menyertai pasukan tersebut.

“Kami selalu menjelaskan kepada pemain kami, sebagai usaha untuk mereka menjana pendapatan ada tiga perkara yang perlu ditekankan iaitu; skil, populariti dan bahasa.

“Ketiga-tiga aspek ini akan memperbaiki nilai pasaran individu itu sebagai pemain dan sebagai seorang pemimpin.”

EVOS yang ditubuhkan pada Julai 2016 merupakan sebuah organisasi e-sukan untuk membina landskap dan melakukan revolusi industri itu di Asia Tenggara.