Penganjur Piala Asia Tenggara Mobile Legends (MSC), RevivaLTV memohon maaf dan bersedia untuk bertanggungjawab dengan beberapa insiden yang tidak diingini sepanjang penganjuran kejohanan itu.

Menurut RevivaLTV, mereka cuba mencari penyelesaian yang terbaik bagi isu perlawanan pemilihan pasukan ke separuh akhir MSC antara pasukan Malaysia AirAsia Saiyan dan pasukan Indonesia Aerowolf.

"Ini pengajaran besar buat kami. Ketika insiden itu berlaku, kami dan Moonton (penerbit permainan video) komited untuk mencari penyelesaian yang baik dan menawarkan untuk mengadakan perlawanan semula (rematch) dalam usaha kami untuk berlaku adil bagi kedua-dua pihak.

"Bagaimanapun, kami faham maklum balas daripada peminat-peminat e-sukan yang melihat tindakan ini seperti tidak adil.

"Kami meminta maaf kepada pasukan AirAsia Saiyan, Aerowolf, Moonton dan semua yang terlibat dalam insiden ini," jelas RevivaLTV dalam kenyatannya pada petang tadi.

Menurut RevivaLTV lagi, mereka akan sentiasa komited dalam usaha memperbaiki mutu perkhidmatan dan kapabiliti mereka untuk industri dan komuniti e-sukan.

BACA: Moonton minta maaf muncul 2 kontrak berbeza MSC



Kontroversi Piala Asia Tenggara Mobile Legends

RevivaLTV merupakan syarikat penyiaran dan media e-sukan pertama di Indonesia. Ia juga bergerak sebagai salah sebuah organisasi e-sukan terbesar dan antara yang pertama di negara itu.

Sebelum ini, dalam kejohanan MS AirAsia Saiyan dan Aerowolf berada dalam kumpulan A dan perlu bersaing bagi merebut kedudukan dua teratas sebelum layak ke separuh akhir.

Bagaimanapun, AirAsia Saiyan dan Aerowolf terikat di kedudukan kedua teratas dalam kumpulan itu.

Dalam format peraturan kumpulan 5.7 kejohanan yang diterima AirAsia Saiyan, jika terdapat pematah seri (tie-breaker) dalam perikat kumpulan ia perlu diputuskan dengan rekod perbezaan mata bunuh (KDA) dan rekod perlawanan untuk layak ke separuh akhir.

Menerusi kontrak yang diterima AirAsia Saiyan itu, mereka mendapat kelebihan dengan mata KDA 28 manakala Aerowolf mengutip mata 17 secara keseluruhan dalam saringan kumpulan.

BACA: AirAsia Saiyan protes, tarik diri daripada MSC

Sementara itu, menurut Moonton, pasukan Aerowolf mendapat kontrak yang berbeza iaitu jika terdapat pematah seri dalam perikat kumpulan ia perlu diputuskan dengan rekod perlawanan berbanding rekod perbezaan mata bunuh (KDA) untuk layak ke separuh akhir.

Melihat kepada situasi ini, Aerowolf mempunyai kelebihan 1-0 apabila mengalahkan AirAsia Saiyan pada hari pertama MSC.

Lantaran itu, Moonton mencadangkan untuk mengadakan perlawanan semula (rematch) bagi situasi ini. Bagaimanapun, AirAsia Saiyan bertindak untuk menarik diri adalah sebagai langkah protes terhadap tindakan RevivaLTV.

Selepas mengambil keputusan untuk menarik diri daripada MSC, AirAsia Saiyan turut bertegas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap RevivaLTV.